Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Mac 19, 2009

#293. Saka korek kubur penjaga

SUASANA di sekitar Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor kelihatan tenang tanpa bingit kenderaan seperti di bandar. Namun, kesunyian dan kedamaian yang dirasai berubah secara tiba-tiba apabila kedengaran dua wanita menjerit dari sebuah rumah. Melihat keadaan dalam rumah itu, Mak Su dan Che Puteh sebenarnya menjerit ketakutan ketika didatangi hantu. Ketika itu, Mak Su bersolat dalam bilik manakala Che Puteh nyenyak tidur dalam bilik berasingan.

Hantu mempunyai rambut dan jari panjang serta berpakaian serba putih itu terus mengganggu dua beranak itu kerana dia adalah saka yang mencari pewaris baru.Situasi cemas yang berlaku antara Mak Su, Che Puteh dengan saka adalah antara adegan menarik yang ingin dipaparkan menerusi drama bersiri terbaru terbitan MIG Production Sdn Bhd, Jangan Pandang Belakang (JPB).

Drama 13 episod ini mula menjalani penggambaran sejak 7 Januari lalu di sekitar Banting dan Lembah Klang. Penggambaran yang mengambil masa 35 hari selesai pada 12 Februari lalu.

Pengarah drama ini, Abdul Azizi Awang Ghazali atau Azizi berkata, drama ini memberi tarikan berbeza kepada penonton kerana plot penceritaan bukan bersandarkan versi filem JPB yang pernah mencatatkan kejayaan besar dua tahun lalu.

Katanya, plot kali ini lebih tertumpu pada watak utama Syakir lakonan Ashraff Muslim yang menempuh kehidupan baru selepas bapanya, Tok Lang (Wan Hanafi Su) yang terkenal sebagai bomoh di Kampung Pasir Lenggong meninggal dunia.

Namun, pada malam selepas Tok Lang dikebumikan, Syakir yang tinggal bersama kakaknya, Che Puteh (Sharifah Shahora) dan ibu saudara, Kasmiah atau Mak Su (Aznah Hamid) secara tiba-tiba didatangi hantu yang mengganggu kehidupannya.

Mak Su sebenarnya mengetahui Tok Lang yang juga abangnya mengamalkan ilmu saka. Cabaran menanti apabila saka berkenaan tidak mempunyai waris dan mencari Syakir kerana dia satu-satunya anak lelaki Tok Lang.

"Dalam drama ini banyak adegan membabitkan saka menghantui kehidupan Syakir bersama Che Puteh dan Mak Su. Pada mula, Syakir tidak mempercayai bapanya mewarisi ilmu saka kerana sebelum ini dia beranggapan bapanya adalah guru agama yang berpegang teguh pada ajaran Islam. Malah Tok Lang dihormati penduduk di kampung kerana mempunyai kelebihan merawat pelbagai penyakit.

"Sebagai pengarah, saya berasakan cabaran menghasilkan drama ini cukup besar kerana pada fikiran penonton, mereka akan membuat perbandingan antara versi filem dan drama. Berbeza dengan versi filem arahan Ahmad Idham yang hanya fokus pada satu cerita, untuk drama bersiri kali ini pelbagai cerita dapat dikembangkan.

"Cabaran juga pada saya, perlu memikirkan bagaimana cerita ini dapat menarik perhatian penonton selain faktor plot cerita, kekuatan watak dan barisan pelakon serta syot yang menarik. Ada beberapa adegan menarik yang dipaparkan dalam drama ini antara saka menangis di kubur Tok Lang.

"Saka itu bukan hanya menangis tetapi berusaha mengorek kembali kubur Tok Lang supaya penjaganya itu hidup semula. Mengikut cerita, drama ini memang menyeramkan. Di sebalik komitmen semua pelakon dan kru produksi menyiapkan drama ini, kami juga menempuh pengalaman sedih apabila seorang nenek yang meminjamkan rumahnya untuk penggambaran drama ini meninggal dunia akibat sakit tua.

"Ketika itu, penggambaran baru masuk hari kesembilan dan secara kebetulan, kami juga membuat penggambaran di tanah perkuburan yang sama tempat dia dikebumikan," katanya.

Mengenai pemilihan pelakon, Azizi, 33, yang pernah terbabit sebagai penolong pengarah menerusi drama bersiri, Puaka Niyang Rapik berkata, ia dibuat mengikut watak dan karakter yang sesuai.

Katanya, perasaan seram secara semula jadi perlu ada dalam diri pelakon dan jika pelakon itu berani, dia dilihat tidak sesuai untuk membawa karakter penakut.

"Penting bagi pelakon menjiwai watak yang dibawa. Ketika di lokasi penggambaran, saya bukan hanya bertanggungjawab dalam memberi arahan kepada pelakon dan kru tetapi meletakkan diri sebagai penonton yang mahukan kelainan serta kepuasan kepada apa yang ditonton.

"Apa yang selalu bermain di fikiran, jika saya tidak takut pada cerita dipersembahkan, bagaimana pula dengan persepsi penonton?

"Untuk adegan seram, ia bergantung pada kreativiti pengarah. Ada ketika, idea itu hadir secara spontan. Seperti drama JPB ini, mulanya kami merancang menggunakan patung bayi untuk adegan bayi yang keluar dari busut tetapi akhirnya kami dapat pinjam bayi sebenar.

"Sejak mula penggambaran ini dilakukan, saya berpandangan cabaran yang ditempuh begitu besar. Berbanding Puaka Niyang Rapik, cabaran pengarahan lebih tertumpu pada Ahmad Idham tetapi ini kali pertama saya berpeluang untuk mengarah.

"Bagaimanapun, dalam drama ini saya meletakkan kepercayaan kepada semua pelakon dan kru bahawa kejayaan penggambaran drama ini adalah kerja keras semua pihak yang memberikan sepenuh komitmen. Drama ini dijangka ditayangkan pada pertengahan bulan depan menerusi TV2," katanya.



Borak Lokasi

JUDUL: Jangan Pandang Belakang

TERBITAN: MIG Production Sdn Bhd

PENERBIT: David Teo

PENGARAH: Abdul Azizi Awang Ghazali

PENOLONG PENGARAH: Hashim Rejab

PENGURUS PERUNDING: Abdullah Sulaiman

KONTI: Wan Suria Wan Deraman

PENGURUS PRODUKSI: Mokharul Shamsul Mokhtar

PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Syed Haatim Syed Abu Bakar

PEMBANTU PERIBADI PRODUKSI: Badrul Abd Wahab

PENGARAH SENI: Ahmad Rusli Mohamed Khadri

JURUSOLEK KESAN KHAS: Ella Sandera

JURUSOLEK & WARDROBE: Harry Franlie Albert Hill

PENOLONG WARDROBE: Mohd Shabani Mohamad Ali

JURUKAMERA: Khairunizam Abd Manan

PENOLONG JURUKAMERA: Saiful Azlan Jaludin

PENATA CAHAYA: Mohd Shahril Mohd Saat

GRIP: Akhbar Abd Manan

KRU: NorHisham Jaludin

RUNNER: Ahmad Zanawi Fahme

KOORDINATOR LAGAK NGERI: Fauzi Nawawi

PELAKON: Ashraff Muslim (Syakir Alang), Sharifah Shahora (Che Puteh), Aznah Hamid (Kasmiah/Mak Su), Wan Hanafi Su (Wak Hitam), Mas Muharni (Nor), Almy Nadia (Mawar) dan Ezany Nizariff (Imam Sani).

Sumber : Harian Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP