#326. TV : Phua Chu Kang pilih Klang
Tiga belas episod sitkom popular ini akan bersiaran di Saluran Ceria ntv7
MOODNYA mungkin sedikit terganggu, lantas kepenatan menjalani penggambaran dua hari terakhir siri Phua Chu Kang (PCK). Pos gambar yang dirakamkan jurugambar Berita Harian juga sekadar biasa-biasa saja dan cukuplah sekadar ada kerana jelas kelihatan riak wajah pelakon utama siri drama ini, Gurmit Singh bagaikan tidak kuasa.
Memahami keadaan yang cukup menyesakkan ini, salah faham dan masalah komunikasi yang diuruskan ntv7 dengan pihak produksi terbabit bukan bidang kuasa penulis. Saluran Ceria Anda ini bakal menyiarkan siri kegemaran ramai ini mulai 25 Mac depan mulai jam 8.30 malam. Sudah 10 musim siri PCK Private Limited (Ptd Ltd) bersiaran di Singapura menerusi saluran Mediacorp. Kini buat pertama kalinya ia akan disiarkan di saluran naungan Media Prima Sdn Bhd itu dengan judul baru PCK Sdn Bhd. Kerjasama ntv7 dengan Mediacorp juga sudah sering dilakukan dan sebelum ini ntv7 kerap menyiarkan drama berbahasa Cina.
Untuk versi Malaysia, drama 13 episod ini diarahkan Loh Ah Khoon dan Eanseymour. Ia adalah usaha sama Media Corp dan ntv7 di samping Screen Shot. Selain mengekalkan watak utama PCK dan isterinya Rosie lakonan Irene Ang, drama ini turut menampilkan watak baru buat Adibah Noor dan Harith Iskander. Tagline kali ini bertukar menjadi PCK Sdn Bhd ‘best’ in Singapore, lagi ‘best’ in Malaysia”.
Kembali kepada kekalutan kisah tadi yang berlaku di lokasi penggambaran PCK Sdn Bhd di Taman Botanik, Klang, Gurmit Singh masih sempat meluangkan masa ditemubual Hip dan agak tegas apabila melarang jurugambar mengambil gambarnya ketika sesi temu bual dijalankan.
Malah, dia meminta untuk mengambil saja gambar yang sudah disediakan pihak produksi. Melihat peribadi sebenar yang ditonjolkan ternyata ia jauh sekali menyimpang daripada watak humor yang dilakonkannya dalam PCK.
“Saya lebih suka menjadi pendiam dan pemalu. Ia memang jauh sekali berbeza dengan watak PCK yang ‘gila-gila’. Apa yang dipaparkan dalam PCK hanyalah tuntutan watak dan kerja semata-mata,” katanya yang turut mengacarakan program Don’t Forget The Lyrics versi Singapura dan bakal memasuki musim kedua tidak lama lagi.
Menjadi artis residen Mediacorp selama 14 tahun, artis berbakat ini cuba memanfaatkan bakat yang ada dengan mempelbagaikannya. Selain berlakon dan mengacara, Gurmit turut mempunyai kebolehan menyumbangkan suara di dalam nota nyanyian. Tapi tahapnya tidaklah sampai membikin album studio lagi ketika ini. Sekadar suka-suka, Gurmit pernah menunjukkan gaya nyanyiannya menerusi lagu duet dengan Tay Ping Hui menerusi lagu One (We Are One).
“Setiap bidang ini memberi kepuasan dan cabaran berbeza buat saya. Tapi saya cukup mencintai ketiga-tiga bidang ini kerana saya bukan jenis manusia yang terlalu fokus kepada satu bidang kerja saja. Ini juga bukti saya mencabar diri untuk menjadikan seorang yang versatile,” katanya turut mengacara Singapore Idol musim ketiga.
PCK menjadi entiti yang cukup sinonim di dalam hidupnya malah jodohnya dengan drama yang bertahan hingga 10 tahun itu cukup dihargainya. Elemen populariti bersifat subjektif kepadanya dan selagi bakatnya mampu menghiburkan penonton serta peminat, itu sudah memadai baginya.
Kalau mahu diukur betapa popularnya lelaki ini, soalnya kembali kepada Hip, perihal itu jawapannya ada kepada peminat setianya. Gurmit gembira melakukan apa yang dilakukannya selama ini tanpa ada sebarang paksaan daripada sesiapapun.
“Soal kemasyhuran dan populariti adalah satu bonus kepada hasil penat lelah yang kita laburkan. Selagi orang sukakan kita itu sudah cukup dan memadai. Saya tidak pernah menilai sama ada saya ini popular atau sebaliknya. Kalau iya, terima kasih itu satu kejayaan peribadi dengan tidak cuba berpura-pura menjadi orang lain.
“Tugas saya sebagai pelakon hanya melakonkan watak yang diamanahkan dan jika watak PCK terus diingati serta menarik perhatian ramai, saya harus bersyukur. Tidak sangka, lama juga saya sudah memegang peranan sebagai PCK,” katanya yang memberitahu PCK buat pertama kalinya akan ke layar perak dan penggambarannya dijangka bermula pada Jun ini.
Peluang dan kesempatan buat julung kalinya merakamkan PCK versi Malaysia, memberikan satu penanda aras buat cap dagang karakter PCK sendiri sebagai seorang kontraktor gila-gila yang sudah dominan di Singapura dan ngeara kita. Siapa tidak kenal dengan lelaki berambut kerinting memakai kemeja santai dan but kuning ini terus menjadi sinonim.
Kata Gurmit, dia pernah menikmati keindahan dan kecantikan Malaysia sebelum ini sewaktu merakamkan drama ini bagi musim keempat di Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Ketam. Malah, tidak dilupakan, Gurmit turut berlakon di dalam filem Malaysia iaitu Sumolah bersama Awie dan Afdlin Shauki.
“Ia satu pengalaman baru dan istimewa kepada saya untuk merakamkan PCK versi Malaysia di sini. Berlakon dengan pelakon baru ibaratnya satu persekitaran lain untuk saya sesuaikan. Mudah saja bagi saya, jika berlakon dengan orang yang betul, kita pastinya akan menikmati keindahan satu-satu penggambaran itu dijalankan. Harapnya, peminat PCK akan terus menyokong drama ini nanti,” katanya mengakhiri perbualan.
INFO: Gurmit Singh
* Lebih suka lagu berentak balada dan lagu dendangan penyanyi berkumpulan.
* Ditabalkan sebagai Raja Komedi Asia selama empat tahun berturut-turut sejak 1998 hingga 2001 dalam Asian Television Awards.
* Filem sulung lakonannya berjudul One Leg Kicking arahan Eric Khoo dan terbaru dua tahun lalu, Gurmit Singh berlakon filem Just Follow Law.
* Dilahirkan pada 24 Mac 1965.
* Ayahnya berdarah Punjabi dan ibunya campuran Cina dan Jepun.
* Dibesarkan dengan cara hidup India, Sikh dan menganut agama Kristian pada 1985.
* Difahamkan berkahwin dengan Melissa dan mempunyai dua orang anak, Gabrielle dan Elliot.
Sumber : Berita Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan