#344. Nilai Industri Kreatif RM8 Trillion
INDUSTRI kreatif yang antaranya meliputi bidang penulisan, perfileman dan muzik kini semakin berkembang pesat di seluruh dunia.Laporan Global Media & Entertainment 2008 - 2012, menyatakan pendapatan daripada industri itu mampu mencecah hingga AS$2.2 trilion (RM8 trilion).Menurut Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Brazil, Rusia, India dan China merupakan negara yang paling pesat dalam bidang tersebut.
Malah, katanya negara membangun seperti Vietnam juga semakin memperlihatkan peningkatan yang ketara dalam industri tersebut."Sebagai contohnya, Vietnam mencatat pertubuhan 15 peratus setahun daripada jumlah itu bersaing dengan negara lain yang lebih besar seperti China."Industri ini telah berkembang 5 hingga 20 peratus setahun di mana ia menyediakan pulangan ekonomi yang amat besar.
"Persoalannya, di manakah letaknya Malaysia dalam peta industri kreatif peringkat dunia?" soalnya pada ucapan perasmian Persidangan Industri Kreatif 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persidangan selama dua hari yang julung kali dianjurkan oleh Kementerian Penerangan itu bertujuan meneroka lebih luas industri kreatif di negara ini pada masa depan.
Antara objektif persidangan itu bagi mewujudkan platform perkongsian pengetahuan dan pertukaran idea di kalangan penggiat dalam industri penyiaran tempatan.
Turut dibabitkan ialah para pembuat dasar dari dalam dan luar negara mengenai perancangan dan masa depan industri kreatif di negara ini.
Sehubungan itu, jelas Ahmad Shabery, kementeriannya akan sentiasa memikirkan mekanisme-mekanisme yang relevan bagi menjayakan impian itu.
Antaranya dengan mencadangkan tahun 2010 sebagai Tahun Industri Kreatif di mana kesemua pihak harus tampil memberi kerjasama agar misi itu akan menjadi kenyataan.
"Dalam hal ini kita semua kena bergabung tenaga dan idea. Ia tidak hanya terletak di atas bahu Kementerian Penerangan semata-mata.
"Sebaliknya, kementerian lain seperti Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) dan Kementerian Pelancongan juga haruslah tampil ke depan.
"Contohnya, Aswara yang menyediakan ramai tenaga kerja dalam bidang kreatif misalnya terletak di bawah KPKKW," ujarnya.
Selain itu katanya, usaha RTM di bawah Kementerian Penerangan yang mula melaksanakan sistem pendigitalan menerusi saluran-saluran TVnya juga salah satu usaha ke arah itu.
Jelasnya, dengan adanya lebih banyak saluran TV digital diperkenalkan oleh RTM, maka lebih banyak produk berkaitan industri kreatif akan dapat dihasilkan.
"Perkembangan itu dapat dilihat, contohnya di Arab Saudi di mana saluran Al-Jazeera mempunyai hampir 200 saluran.
"Setakat ini RTM sedang merancang untuk mewujudkan saluran-saluran TV digital seperti Bestari, Arena, CY dan Harmoni.
"Sementara itu, saluran TV Muzik Aktif pula telahpun kami lancarkan pada 16 Mac lalu. Semua ini adalah antara langkah awal dalam usaha kita menuju ke arah itu," katanya.
Pada persidangan yang bertemakan Industri Kreatif: Dimensi Baru Pembangunan Ekonomi itu seramai 30 pembentang kertas kerja termasuk dari Singapura, Thailand dan Korea turut mengambil bahagian.
Industri kreatif yang membawa maksud 'aktiviti yang berasal daripada kreativiti, kebolehan dan bakat individu berpotensi mencipta kekayaan serta peluang pekerjaan melalui penjanaan hakcipta intelek' itu mampu menjana ekonomi negara.
Tambahnya, jika cadangan mewujudkan Tahun Industri Kreatif itu dipersetujui ramai, beliau akan mengetengahkan usul itu hingga ke peringkat Kabinet.
"Kita kena melihat kemajuan yang telah dicapai oleh negara seperti United Kingdom yang menjana pendapatan terbesarnya daripada industri kreatif mengalahkan industri automobilnya.
"Malah, United Kingdom juga sudah lama ada CID (Creative Industri Department) mereka sendiri bagi memacu serta menentukan hala tuju industri tersebut," ujarnya lagi.
Persidangan yang mengenakan bayaran RM20 untuk pelajar dan RM100 buat wakil dari syarikat atau organisasi itu dihadiri kira-kira 300 peserta.
Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Timbalan Menteri Penerangan Datuk Tan Lian Hoe dan Ketua Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Siaraf.
Sumber : Utusan Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan