Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Mac 27, 2009

#348. Mahu menghadap Tuhan begini - Sidek


KETULAN daging seberat satu kilogram yang di pipi kanan menjadi pengenalan diri buat aktor Sidek Husin.Bermula dengan saiz sebesar bola golf, semakin hari, ketulan daging itu makin membesar.Pada sebilangan besar daripada kita, kewujudan ketulan daging itu sudah tentu merimaskan.Sebolehnya, ada yang akan berikhtiar dan berusaha untuk membuangnya.

Namun pada tuan punya diri, apa perlu dia 'mengkhianati' kurniaan llahi.Reda dengan ketentuan itu, Sidek semakin menyedari hikmah yang ada di sebalik apa yang Allah berikan kepadanya.Lalu, dengan penuh rasa yakin seniman berkulit sawo matang mahu mengekalkan 'kelebihan' yang ada pada wajahnya.Paling utama juga, aktor tersohor itu mahu menghadap Yang Maha Esa seadanya tanpa perlu melakukan transformasi.

"Biarlah saya mengadap Tuhan dengan muka begini. Ini pemberian Tuhan dan saya tidak akan mengubahnya," itu ikrar Sidek dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.Pertemuan itu diatur membolehkan kami mendasari suara hatinya.

Sebetulnya, sudah lama hajat kami ingin berkongsi perasaannya mengenai kehidupan yang dilalui sebagai satu-satunya seniman tanah air yang memiliki 'kelebihan' tersendiri.

Kata Sidek, dia tidak ada rasional yang kukuh untuk melakukan pembedahan membuang ketulan daging yang tumbuh pada wajahnya memandangkan, ketumbuhan itu langsung tidak menjejaskan kehidupan sehariannya.

"Kalau benda (ketulan) ini menyakitkan atau menyebabkan migrain, mungkin saya jalani pembedahan, tetapi ia langsung tidak menjejaskan kehidupan seharian saya.

"Melainkan kalau ia tumbuh di kaki dan menyekat pergerakan mungkin saya akan buang . Saya lebih suka membiarkannya.

"Lagipun senang bila saya mati nanti sudah ada bantal, jadi tak payahlah letak tanah nanti," sempat lagi seniman itu berseloroh pada pertemuan yang berlangsung di kediamannya di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Sebetulnya, Sidek dan ketumbuhan di pipinya itu bukanlah cerita baru bagi sebilangan besar masyarakat atau peminat seni tanah air.Cuma persoalannya, benarkah seperti yang diceritakan oleh ramai artis kononnya Sidek enggan membuang ketumbuhan itu kerana berpendapat ia membawa tuah dan rezeki buatnya?

Ada juga yang lebih nakal. Dakwa mereka, Sidek pernah melarikan diri dari hospital kerana takut dibedah!Mana satu yang betul?

Menjawab soalan yang diajukan, Sidek sekadar menggeleng kepala sebelum menyambungnya dengan kenyataan-kenyataan sebegini:"Mengarut semua cerita itu. Bukan saya tak pernah buang ketulan ini."Pada tahun 1979 ketika ketumbuhan itu sebesar bola golf, saya menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh.

"Tetapi selepas tiga tahun ia tumbuh balik. Kini setelah 30 tahun ia menghiasi wajah saya, biarlah ia kekal begini. Sekurang-kurangnya Sidek Husin ada identiti tersendiri!" sambungnya lagi.

"Biarlah kalau ada yang anggap jijik"

Sudah lebih tiga dekad hidup dengan 'kelebihan' pada wajahnya, sebagai manusia yang waras pemikirannya, Sidek tidak pernah berkecil hati jika ada yang takut untuk mendekatinya.Bahkan, Sidek juga sudah lali dengan pandangan negatif padanya.

Kalau sekalipun ada yang berasa jijik untuk berdepan dengan Sidek, pelakon berusia 58 tahun itu tidak langsung terguris."Saya tidak kisah jika ada pelakon yang menganggap diri mereka superstar memandang jijik dengan ketulan pada wajah saya.

"Ini kerana saya percaya semua yang terjadi adalah dengan kehendak Allah. Lagipun ia (ketulan) tidak kacau orang," ujar beliau menarik perhatian penulis dan jurugambar mengenai pandangan negatif sesetengah karyawan seni padanya.

Benarlah kata Sidek dalam temu bual itu, dia tidak pernah berhenti memohon doa daripada Allah agar memudahkan perjalanan hidup dan kariernya.

Suatu hari, hikmah yang dijanjikan padanya hadir tanpa beliau duga sama sekali.

Ketika ada rakan pelakon yang 'geli' melihat ketulan daging di pipinya, dia didatangi sepasang hamba Allah yang mahu membantu memulihkan semula wajah Sidek.

Khuniza Abdullah bersama suami yang menetap di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur merupakan salah seorang peminat Sidek.Selepas menonton lakonan Sidek dalam drama Cantiknya Buruk yang ditayangkan di saluran Ria, Astro pada musim raya tahun lalu, pasangan itu berusaha menjejaki Sidek untuk menaja pembedahannya.

"Bayangkan mereka sanggup bersusah payah mencari saya. Setelah berjumpa, mereka memberitahu yang mereka telah mengatur temu janji dengan doktor untuk pembedahan membuang ketulan daging di pipi saya.

"Bukan itu saja, pasangan itu juga sanggup memberi saya RM25,000 untuk menanggung kos pembedahan dan selebihnya mereka hadiahkan kepada saya untuk menunaikan umrah.

"Tapi semuanya saya tolak kerana saya tidak mahu mengambil kesempatan atas anugerah Tuhan kepada saya.

"Saya sarankan kepada mereka agar sedekahkan duit itu kepada mereka yang memerlukan," Sidek berkongsi cerita keluhuran pasangan yang sudah dianggap sebagai rakan baiknya.

Sekali lagi Sidek menjelaskan, bukannya beliau enggan membuang ketumbuhan berkenaan.

Sebaliknya, Sidek pernah merujuk kepada doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

Doktor berkenaan menasihatkan Sidek supaya tidak membuang ketulan daging itu kerana ia akan memberi kesan kepada penglihatannya khususnya pada sebelah mata kanan.

Saranan yang serupa diberikan anak bongsu Sidek, Mohd. Adam yang merupakan penuntut dalam bidang perubatan di Universiti Malaya.

Kini, diam tak diam sudah hampir sepuluh tahun ketulan daging pada wajah Sidek sudah berhenti daripada terus membesar.

Jiwa sensitif Sidek

Walaupun dalam drama atau filem, Sidek terkenal dengan watak antagonisnya tetapi mengenali lelaki ini sejak tahun 1982 menerusi drama popular, Anjang Aki, itu bukanlah perwatakannya yang sebenar.

Sidek yang dibenci kerana watak Malek yang memfitnah Anjang Aki hingga dipenjara dalam penjara buluh di hujung kampung, sebenarnya seorang lelaki yang berjiwa sensitif dan romantis.

Barangkali, ramai yang tidak tahu, andai terlihat sesuatu insiden atau tragedi yang menyentuh hati berlaku di depan matanya, air mata lelakinya sudah tentu akan membasahi pipi.

Dan bertitik tolak dari jiwanya yang sensitif itulah lahirnya skrip Panggilan Ilahi.

Melalui telefilem itu, Sidek yang membawa watak lelaki buta bernama Sudin berjaya membawa transformasi karakter berbanding watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

Malah apa yang nyata, seniman berwajah bengis ini berjaya membuat ribuan penonton meratapi 'kematiannya' dalam drama berkenaan.

"Saya tahu saya tak handsome... tapi bukan nak cakap besar, saya yakin kalau saya berlakon pasti penonton mengalirkan air mata. Saya juga boleh tepis lakonan pelakon-pelakon popular hari ini,

"Saya juga tak kisah kalau digandingkan dengan pelakon lelaki popular hari ini, saya percaya mereka boleh tenggelam cuma berani atau tidak mereka untuk berlakon dengan saya," kata Sidek yang kini tidak gemar menonton drama di TV kerana katanya drama-drama terbitan hari ini asyik menampilkan wajah pelakon yang sama.

Untuk rekod, Sidek mula berlakon pada tahun 1972 menerusi drama sulung Hujan Batu Di Rantau arahan Allahyarham Roslee Jalil.

Menyusul selepas itu, Sidek bersama-sama pelakon seangkatannya, Razali Buyong dan Omar Abdullah sering diberi kepercayaan menerajui drama-drama terbitan RTM ketika itu antaranya drama bersiri Potret Pekerti.

"Sebenarnya saya kecewa dengan senario hari ini, penerbit hanya sanggup membayar bayaran tinggi kepada pelakon cantik, muda dan handsome walaupun lakonan mereka stereotaip.

"Pelakon-pelakon macam saya, jangan mimpi nak dapat bayaran yang setimpal dengan bakat dan pengalaman.

"Saya tidak mahu bandingkan diri ini dengan pelakon Hollywood yang semakin tua lagi dihargai, cuma saya mempersoalkan kenapa mentaliti penerbit dan stesen TV tidak berubah?" kata Sidek meninggalkan tanda tanya.

Bulan Jatuh Ke Bumi

Bukan sekadar layanan dingin daripada pengusaha stesen TV atau penerbit drama dan filem sahaja yang diterima, sebaliknya, mungkin juga ada yang terlepas pandang bahawa Sidek juga sering dilupakan dalam pelbagai acara glamor.

Tanpa berselindung, seniman itu meluahkan kebenaran yang beliau tidak pernah diundang menghadiri apa-apa acara anugerah atau festival filem walaupun sudah 26 tahun berlakon.

Justeru, tidak hairanlah kenapa selama hampir sedekad, Sidek membuat keputusan berhijrah ke Ipoh, Perak.

Kebetulan isterinya, Sabiah Sulaiman, 54, bertugas di Pos Malaysia cawangan sana.

Namun, usaha bersungguh-sungguh sutradara Rashid Sibir menjejakinya di Ipoh membuatkan Sidek tidak mampu menolak tawaran membintangi Cantiknya Buruk.

Kini, minat dan kecenderungan Sidek lebih terarah menulis skrip selain berlakon.

Buat masa sekarang, Sidek sedang menyiapkan skrip Sejenis Air Mengalir yang memaparkan kisah percintaan antara jururawat desa dengan pengemudi bot penambang yang berakhir dengan kematian.

"Saya juga akan menulis skrip komedi Bulan Jatuh Ke Bumi yang mengisahkan tiga orang gila yang bercakap mengenai bulan," ujarnya.

Bagi Sidek, walaupun sejak muda hingga kini dia menyara hidup keluarganya dengan berlakon namun bersyukur kerana lima orang anaknya

berjaya menamatkan pengajian di menara gading.

Empat cahaya matanya daripada perkahwinan pertama iaitu Siti Hajar, 28, lulusan Universiti Teknologi Mara kini bertugas sebagai seorang guru.

Kata beliau, Umi Kalsom, 27, juga merupakan seorang pendidik yang menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa.

Sementara Khairul Mizan, 23, pula bertugas di Bank Negara dan Siti Mariam, 22, yang juga lulusan Universiti Teknologi Malaysia bertugas di sebuah syarikat pengiklanan.

Manakala Mohd. Adam, 18, yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Perubatan dan Pembedahan di Universiti Malaya pula merupakan anak Sidek hasil perkahwinannya dengan Sabiah.

Sumber : Utusan Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP