#411. Mawi, Fara Hebat
KALI pertama digandingkan menerusi layar lebar, namun persembahan lakonan mereka menerusi filem terbitan KRU Studio Sdn Bhd iaitu Jin Notti cukup luar biasa.Sehinggakan sutradara, Azhari Mohd Zain selaku pengarah filem tidak putus-putus memuji kehebatan dua selebriti popular ini, Asmawi Ani dan Fara Fauzana sepanjang sidang media sempena pengumuman kerjasama KRU & TM yang dilangsungkan di Autumn Club @ Quattro, Avenue K, kelmarin.
Azhari atau lebih dikenali sebagai Zack berkata, dia cukup bertuah kerana berjaya menyatukan dua artis popular tanah air dalam satu filem dan lebih mengharukan, Mawi dan Fara memberikan apa yang dimahukan dalam filem ini."Peringkat awal melakar karakter Jin Notti, memang kedua-dua watak utama sangat hampir dengan wajah Mawi dan Fara Fauzana."Hampir gagal mendapatkan Mawi pada mulanya kerana kesibukan kerjaya, namun selepas bertemu sendiri dengan beliau, lalu saya jelaskan perjalanan kisah Jin Notti termasuk mesej yang ingin disampaikan, Mawi bersetuju.
"Hari pertama di set penggambaran, tanpa sebarang pengalaman berlakon filem sebelum ini, Mawi mengagumkan ramai orang kerana lakonannya sangat bersahaja dan dia membuktikan pelakon yang hebat.
"Begitu juga dengan Fara Fauzana di atas komitmen yang diberikan. Meskipun jadual kerjanya begitu padat hinggakan pada satu hari, Fara menangis kerana masih di set penggambaran sedangkan jam 4 pagi perlu ke konti, namun dia berjaya mengawal emosinya sebaik penggambaran dimulakan.
"Dia terus ketawa dan menjiwai lima karakter yang dimainkannya sepenuh hati. Terima kasih tidak terhingga pada Fara di atas komitmen 120 peratus yang diberikannya," katanya.
Pertama kali mengarahkan filem, Zack berterima kasih atas kepercayaan diberikan tiga beradik KRU merangkap produser filem ini iaitu Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim kerana kepercayaan mereka.
Zack menambah, projek ini bukanlah kerjasama pertamanya dengan KRU. Sebelum ini, dia pernah dilantik sebagai penolong pengarah untuk filem Cicak Man 1 dan 2.
Terbaru, dia sekali lagi bergandingan menerusi filem terbaru Yusry, Merong Mahawangsa, sebuah hikayat lama yang difilemkan.
Pada temu bual sama, Zack sempat diajukan apakah pihaknya sudah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung penampilan karakteor Fara Fauzana sebagai Notti yang bertanduk dalam filem itu.
Akui Zack, pihaknya sudah pun meminta pandangan daripada pihak berkenaan, bahkan setiap babak dalam filem ini diluluskan 100 peratus oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Ia dijangka melewati pawagam pada Syawal nanti.
"Kami risau juga pada mulanya, bimbang perkara ini membangkitkan sensitiviti di kalangan penonton atau dianggap cuba memesongkan akidah walaupun tujuan filem ini memberi pengajaran.
"Bagaimanapun, kami sudah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Jakim. Memandangkan filem ini membabitkan dunia fantasi, Jakim melonggarkan sedikit syarat, cuma meminta supaya ia tidak dibuat berlebih-lebihan.
"Kalau ikutkan rekaan asal, lebih 'extreme'. Bagaimanapun, menghormati keputusan Jakim serta menghargai tanggungjawab kami sebagai penggiat filem, saya tampilkan imej yang lebih ringan, misalnya yang boleh kita nampak tanduk Fara cuma kecil," katanya.
Menampilkan ramai pelakon, Bob Lokman sebagai Jin Samsu, Adibah Nor (Sofea Jin), Acappan (Jingam), Hafidzuddin Fazli (Nesti), Corie (Taiko), Sazzy Falak (Ibu Zulu), Betty Benafe (peguam bela) dan David Teo (Ketua Kongsi Gelap).
Namun, perjalanan kisah Jin Notti lebih tertumpu pada konflik pelakon utamanya, Inspektor Aziz (Mawi) dan Notti (Fara Fauzana) yang dibantu Jinbara (Cat Farish).
Jin Notti mengisahkan Notti, gadis jin yang baik, lembut dan jujur menyebabkan golongan jin tidak menyukainya walaupun kebaikan itu dituntut dalam hidup manusia.
Notti dikenakan hukuman sangat berat dan dikurung dalam penjara 'All Alone' oleh majlis penghakiman jin lantas dihantar ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang melakukan kesalahan.
Adakah Notti terpengaruh atau berpegang teguh pada prinsipnya yang suka berbuat baik?
Mawi tatkala menceritakan pengalamannya, mengakui dunia lakonan bukanlah semudah yang disangka dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Lebih penat menunggu daripada berlakon sebenarnya. Namun itu tidak bermakna saya serik, sebaliknya kenyataan ini sekadar satu luahan bagi individu yang pertama kali berlakon seperti saya.
"Banyak perkara baru saya pelajari dalam pembikinan filem ini. Seperkara yang jelas, bukan mudah untuk membuat filem kerana banyak menggunakan masa," katanya.
Sumber : Harian Metro [09/05/2009]
Oleh Norhadiani Baharom