Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Mei 12, 2009

#415. Nama Baru Semangat Pun Baru

PPFM kini lebih selesa digelar Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia atau Profima

SEBAIK genap sebulan mesyuarat agung Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) bagi pemilihan organisasi baru sesi 2009-1012 yang dimenangi presiden barunya, Khir Mohd Noor, tiada lagi singkatan PPFM yang mula digunakan sejak 1993.Sebaliknya, nama PPFM kini lebih selesa dan mudah digelar sebagai Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima). Mungkin inilah yang diinginkan setiap presiden apabila peralihan kuasa dilakukan, misi presiden dalam membawa organisasi jauh daripada aliran biasa sering berlaku.

Menurut Khir, pemilihan nama Profima bertujuan untuk memberi semangat baru termasuk meningkatkan tahap profesionalisme bagi setiap ahlinya.“Objektif utama Profima adalah untuk memberi seberapa banyak latihan kepada setiap ahli. Dalam Profima kita sudah menubuhkan beberapa biro yang bertujuan memberi fokus kepada setiap latihan.“Kita ingin menyarankan kepada semua produksi bahawa setiap produksi yang ingin menjalankan penggambaran harus mengambil ahli daripada Profima yang sudah terlatih.“Ini kerana setiap ahli Profima dilatih bukan saja dengan skil kerja yang profesional tetapi disiplin,” katanya pada Majlis Dialog bersama ahli Profima yang diadakan di Finas minggu lalu.

Profima kini sudah mempunyai 9,930 ahli berdaftar sejak persatuan ini ditubuhkan. Namun tidak semua ahlinya masih bersama persatuan itu memandangkan tidak banyak aktiviti bersama PPFM dilakukan sebelum ini.

“Saya berharap dengan mengangkat nama baru Profima ini, kita dapat menarik semula semua ahli untuk bersama kita memeriahkan industri perfileman. Segala kebajikan mereka akan terbela.

“Dialog yang diadakan ini juga menjadi dialog pertama sepanjang persatuan ini ditubuhkan bermula 1993 untuk mendengar masalah yang dihadapi ahli kita. Saya juga berharap dengan adanya dialog kita bukan saja dapat mendengar masalah mereka malah dapat menjalinkan hubungan yang erat bersama ahli.

“Bagi setiap ahli yang berdaftar kita akan memberi sijil dan mereka yang datang latihan turut diberi sijil. Profima turut bersetuju untuk mengiktiraf 10 penerima ahli kehormat yang akan sentiasa menyokong segala aktiviti yang kita rancang.

“Antara mereka yang dilantik sebagai ahli kehormat Profima seperti Ahmad Puad Onah, Jurrey Latiff, Richard Ung, Baharuddin Omar, Akmal Abdullah, Adam Salleh, Mohamed Shafie BP Mammal, Mohd Yahya Mohd Ibrahim, Mohd Mahyidin Mustakim dan Ahmad Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, sesi dialog yang dipengerusikan Khairuddin Othman bersama empat panel lain seperti Khir, Richard, Ahmad Puad dan Ahmad Ibrahim tidak lain mendengar permasalahan yang dihadapi ahlinya.

Antara masalah yang disebut adalah mengenai kerja melebihi masa dan tidak mendapat pembelaan penerbit.

Richard yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berkata, bimbang hilang pekerjaan menjadi faktor utama pekerja tidak pernah melaporkan segala masalah yang dihadapi mereka.

“Setiap masalah yang dihadapi pekerja tidak pernah mereka laporkan kepada penerbit, begitu juga kepada persatuan. Masalah ini menyebabkan tidak siapa yang mengetahuinya.

“Seperti juga masalah yang dihadapi oleh penerbit untuk bertemu dengan stesen televisyen, kita terpaksa menuruti apa saja yang diinginkan mereka kerana ingin menjaga hubungan bersama mereka, jika tidak kita akan hilang kerja yang seterusnya.

“Jadi ini yang dihadapi pekerja apabila penerbit melanggar kontrak asal dengan memberi kerja lebih tetapi tidak dibayar,” katanya.

Masalah ini akan diambil perhatian serius menurut Ahmad Puad yang merasai hak pekerja dipermainkan penerbit.

“Saya meminta sesiapa saja yang pernah menghadapi masalah tidak dibayar gaji sedangkan kerja ekstra dilakukan dan tidak seperti yang terdapat di dalam kontrak agar dapat dikumpulkan dan menyerahkan laporan itu kepada saya.

“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada syarikat itu dan berharap tidak lagi ada syarikat yang berani mengambil kesempatan kepada pekerja,” katanya.

Sumber : Berita Harian [12/05/2009]
Oleh Rozdan Mazalan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP