#427. Semangat Bjarne Wong
Pengarah muda terkenang saat bekerja dengan Datuk Michelle Yeoh dan Jackie Chan
TERPANCAR riak kekecewaan di wajah Bjarne Wong apabila dihubungi penerbit filem Sayang You Can Dance (SUCD) memberitahu hasil kutipan filem itu cukup hambar. Bayangkan pelaburan keseluruhan sebanyak RM1.5 juta membikin filem itu tidak langsung pulang modal kerana hanya mengutip RM300,000. Namun kegagalan filem itu bukan penamat perjuangan pengarah berusia 38 tahun ini. Malah, kini dia mula membuka mata dan lebih jelas gambaran mengenai kehendak pasaran dan senario filem tempatan.
“Saya sedar kutipan filem ini ‘gitu-gitu’ saja. Tapi ia takkan mematahkan semangat saya dan sebolehnya saya tidak mahu tahu langsung mengenai berapa kutipan yang berjaya dikumpul. Saya takkan berhenti dan menyerah kalah, malah ia terus menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan perjuangan yang belum selesai ini,” katanya di awal bicara.
Sebelum menghasilkan filem sulung Melayu ini, Bjarne pernah mengarahkan filem The Legend Of The Red Curse pada 2005 dan Possessed (2006). Ketika artikel ini ditulis, dia dan penerbitnya sedang berada di Hong Kong untuk mempromosikan SUCD.
Kesempatan berada di sana turut dimanfaatkannya untuk berbincang mengenai projek filem seterusnya dengan seorang penerbit yang juga pelakon iaitu Raymond Wong. Hip difahamkan filem yang sedang dibincangkan itu adalah pembikinan semula sebuah filem seram Hong Kong yang bakal diadaptasikan sebagai filem Melayu.
Kehadiran Bjarne ke Balai Berita bukan sekadar bercerita mengenai filem SUCD, malah tujuan sebenar Hip menemubualnya ialah untuk berkongsi pengalamannya sebelum membabitkan diri sebagai pengarah. Sejak usia 18 tahun lagi, dia sudah bekerja dalam syarikat produksi. Malah, dia pernah menjadi pembantu peribadi kepada pelakon Datuk Michelle Yeoh.
Bjarne melanjutkan pengajian dalam Rekaan Imej di Number One Art and Design Academy Di Hong Kong. Lelaki yang dilahirkan di Sibu, Sarawak ini pernah memberontak dan nekad untuk ke Hong Kong bertemu dengan idolanya pengarah Standley Tong. Ketika berusia 14 tahun, dia pernah berlakon dalam filem Long House yang turut mengambil Sibu sebagai lokasi penggambaran.
“Bayangkan ketika bapa menyuruh saya ke sekolah, saya berkeras mahu ke Hong Kong untuk membikin filem dan bertemu Standley Tong. Selepas berlakon filem Long House, keinginan saya akhirnya dimakbulkan bapa apabila dia mengizinkan saya untuk ke Hong Kong dengan bantuan kawannya di sana. Saya ke sana seorang diri ketika berusia 15 tahun.
“Tahun 1989, saya bekerja dengan syarikat Standley Tong’s Gate Production sebagai pereka seni dan imej untuk beberapa filem seperti Stone Age Warrior, Police Story 3 dan Supercop. Tahun 1995, saya kembali ke Malaysia dan bekerja dengan beberapa syarikat seperti Scanvest Entertainment, Layar Opera termasuk bekerja di majalah E Move sebagai Pengurus Promosi.
“Tahun 2000, saya kembali ke kampung halaman, Sarawak dan menerajui syarikat Hock Star Entertainment Industry Berhad untuk mengendalikan dan mengembangkan rangkaian pawagam Star Cineplex di Sarawak dan Sabah. Dalam Police Story 3 saya turut berlakon di samping idola saya, Maggie Cheung yang menjalani penggambaran di Malaysia,” katanya.
Selama lebih dua tahun dari 1993, Bjarne bergelar pembantu peribadi kepada Michelle Yeoh dan sempat menguruskan tiga filem lakonan pelakon itu seperti Tai Chi Master dan Police Story 3. Peluang keemasan ini disyorkan sendiri Standley Tong untuk bekerja di bawah Michelle Yeoh.
Secara kebetulan juga Bjarne dan Michelle Yeoh berasal dari Malaysia, lalu kerjasama mereka dilihat sebagai membantu sesama sendiri. Bjarne turut memuji sikap dan kredibiliti Michelle yang berjaya menguasai pasaran luar negara.
“Saya sangat bangga dapat bekerja dengannya, malahan, saya banyak berkongsi petua dan pengalaman dengannya. Dia sangat sukses dan paling penting tidak sombong. Hubungan kami sangat rapat, bahkan dia turut mempelawa saya tinggal di rumahnya.
“Bekerja dengannya ibarat sebuah memori bahagia. Kalau saya tidak ada wang, dia sanggup menghulurkan wang dengan ikhlas. Ketika bekerja dengannya, bukan soal gaji yang diharapkan kerana dapat bekerja dengannya sudah memadai. Paling menyentuh perasaan saya ialah pada hari terakhir saya melepaskan tanggung jawab sebagai pembantu peribadinya untuk kembali ke Malaysia,” katanya.
Bagaikan rezeki berganda, Standley Tong turut mempelawa Bjarne untuk membantunya mengarah filem yang membabitkan pelakon tersohor Jackie Chan. Bjarne juga yang menjadi orang penting menguruskan urusan Jackie Chan di Malaysia sewaktu mempromosikan filem Who Am I.
Kata Bjarne, biarpun Jackie Chan tidak serapat hubungannya seperti Michelle Yeoh, dia banyak mempelajari skil kerja pelakon yang cukup terkenal dengan aksi kungfunya itu.
“Jackie memang seorang ‘otai’. Kami jarang bercakap kerana lebih memberi tumpuan kepada soal kerja. Dia memang seorang yang penuh dengan keazaman. Saya turut belajar cara bagaimana dia melakukan lagak aksi sendiri. Tak dinafikan dia di antara pelakon yang selalu melakukan aksi ngeri sendiri tanpa mengharapkan pelakon ganti.
“Satu yang saya perhatikan, biarpun dia hanya pelakon, dia masih meninjau corak pengarahan, kerja kamera dan termasuk memberi input kepada pengarah. Dia sangat komited dengan kerjanya biarpun sudah meningkat usia,” katanya mengakhiri perbualan.
Sumber : Berita Harian [13/05/09]
Oleh Zaidi Mohamad