#497. Seniman Agung Cukup Istimewa
Tidak dinafikan karya P Ramlee masih segar dan menjadi pilihan semua generasi. Melodi lagu bahkan filem beliau masih disiarkan berulang kali di semua stesen radio serta televisyen tempatan. Daripada generasi muda sehingga dewasa kebanyakannya berbangga melihat hasil karya seni P Ramlee.Barisan artis muda tanah air seperti penyanyi Fazli Zainal, Siti Sarah Raisuddin dan pelakon Tony Eusoff, cukup menyanjungi bakat semula jadi P Ramlee yang disifatkan cukup istimewa.
Fazli yang popular dengan lagu Harapan, berkata, biarpun P Ramlee sudah tiada namun usaha menghargai sumbangannya perlu diteruskan begitupun ia perlu dilihat daripada pelbagai sudut."Pada saya, ada baiknya kita mengadakan majlis tahlil untuk memperingati beliau. Lebih baik jika ia diadakan setiap minggu, tidak semestinya menunggu tarikh kematiannya."Tidak dinafikan karya beliau menjadi inspirasi kepada generasi kini. Begitupun, karya seni sentiasa berkembang dan berterusan mengikut peredaran semasa," katanya.Tambah Fazli, dia turut membesarkan dengan karya P Ramlee yang disifatkan mempunyai keistimewaan tersendiri.
Menerusi kakak angkatnya, Allahyarham Jah Mahdi yang juga pelakon dalam filem Madu Tiga, dia dimaklumkan mengenai karakter P Ramlee yang tiada tandingan daripada pelakon lain pada zaman itu.Kakak angkatnya juga kerap bercerita mengenai filem dan kelebihan P Ramlee membawa pelbagai watak dan secara spontan.
"Secara tidak langsung cerita dan karya P Ramlee menjadi sebutan. Menurut arwah kakak, P Ramlee seorang yang istimewa, kreatif dan berbakat dalam lakonan. Walaupun melakonkan watak secara spontan karakter yang dibawakan cukup meninggalkan kesan.
"Mengenai lagu-lagu P Ramlee pula, kebanyakan melodi berbunga-bunga dan puitis. Malah pengalaman ketika menyampaikan lagu arwah sempena persembahan Konsert Istana Cinta bersama Datuk Siti Nurhaliza tahun lalu, cukup sukar kerana kelebihan saya menyampaikan lagu bernada tinggi.
"Sedangkan lagu-lagu P Ramlee dengan nada rendah. Perkara sama turut dilalui kebanyakan penyanyi sekarang yang sukar membawa lagu nada rendah," katanya.
Fazli yang kini popular dengan single terbaru, Kalbu turut menyokong usaha kerajaan mengadakan pelbagai aktiviti dan program seperti Hari Seniman sempena memperingati sumbangan P Ramlee. Begitupun, dia berharap program berkenaan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
"Mengadakan program dan aktiviti memperingatinya memang bagus kerana dapat memperkenalkan P Ramlee kepada generasi baru. Begitupun, usaha ini tidak dijalankan secara menyeluruh kerana hanya membabitkan agensi kerajaan sebaliknya bagaimanapun peranan daripada pihak swasta.
"Jika boleh, dua agensi ini bergabung mengadakan satu program khas sempena memperingati P Ramlee. Menerusi pengalaman menyertai Malaysian Idol dulu, kami turut diberi ujian menyanyikan lagu dengan tema P Ramlee. Kalau boleh, setiap program realiti televisyen perlu diwajibkan menyampaikan lagu beliau," katanya.
Bagi Tony Eusoff, bakat seni P Ramlee ternyata tiada bandingannya. Malah tidak dinafikan ketika zaman kemuncaknya P Ramlee berjaya mencipta fenomena tersendiri dalam dunia seni tanah air.
"Zaman P Ramlee adalah zaman kemegahan dalam dunia seni. Bukan saja di Malaysia malah Singapura. Kebanyakan karyawan seni sering memperkatakan mengenai karya beliau. Saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak lagi ketika menonton karya P Ramlee. Karya beliau bukan hanya diminati golongan Melayu malah semua kaum.
"Begitupun, saya sedikit kesal dengan fenomena masyarakat yang mengagungkan individu yang sudah tiada sedangkan ketika hidupnya tiada siapa yang mengiktiraf bakat dan menyanjungnya.
"Tidak salah mengagungkan orang yang sudah tiada, namun saya kesal apabila melihat situasi dan keadaan macam ini.
"Kita juga mempunyai ramai barisan pelakon veteran yang boleh disanjung kerana sumbangannya dalam bidang seni. Begitupun, tiada yang berbuat demikian sehinggalah individu berkenaan tiada barulah disanjung dan dianugerahkan pelbagai penghargaan," katanya.
Kata Tony, program yang diadakan juga perlu telus dan lebih menyeluruh supaya ia mendatangkan kesan yang positif kepada masyarakat.
Bagi Tony, bidang seni bukan hanya mampu menjana pendapatan sebaliknya mengeratkan perpaduan sesama kaum.
"Pada saya dua bidang yang boleh menggalakkan perpaduan adalah sukan, kebudayaan dan kesenian. Justeru agensi terbabit perlu memainkan peranan yang lebih berkesan untuk menjadikan ia lebih bermakna dan mendatangkan manfaat kepada semua pihak.
"Mungkin dapat diadakan program nyanyian pada setiap minggu. Secara tidak langsung program berkenaan sebagai tribiu untuk P Ramlee. Selain memperingati karya beliau ia juga dapat memberi ruang pekerjaan kepada artis tempatan. Memandangkan ekonomi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini," katanya.
Apa yang lebih penting bagi pelakon teater, Mana Setangginya itu adalah semua pihak mencari jalan mengadakan program khas untuk P Ramlee dan pada masa sama dapat menjana ekonomi serta memartabat kesenian negara.
Sementara Siti Sarah yang juga peminat utama karya Seniman Agung itu mengakui, setiap aktiviti dan program yang dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan beberapa agensi terbabit memang bersesuaian bagi memperingati P Ramlee.
"Di samping mengadakan beberapa program khas membabitkan konsert dan pemilihan lagu-lagu P Ramlee, inisiatif produksi tempatan menerbitkan semula karya P Ramlee seperti Orang Minyak Naik Minyak yang disiarkan di Astro adalah satu langkah wajar.
"Pada saya, sebagai mengenang sumbangan P Ramlee pengiktirafan dari segi bayaran royalti perlu dititik beratkan supaya bayaran itu dapat dimanfaatkan waris atau keluarganya yang benar-benar layak," katanya.
Sumber : Harian Metro [29/05/2009]
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan