#531. David Teo Kembali Menyantau
Filem Syurga Cinta yang masih ditayangkan berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.1 juta dalam tempoh 11 hari tayangan diikuti filem Jangan Pandang Belakang Congkak yang baru mula menemui penonton pada 4 Jun lalu, manakala dua filem baru lain - Remp-it V3 dan Senario The Movie 2 masih menunggu tarikh tayangan.Biarpun empat filem baru ini menjadi pertaruhan MIG Production Sdn Bhd pada tahun ini, David tidak mahu duduk diam dalam memulakan projek filem barunya.
Selepas Rempit Nan Sempit arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri ke lokasi penggambaran, David berkeyakinan untuk kembali dengan filem seram, Santau.Dalam memberi tarikan pada penonton, dia memberanikan diri untuk menampilkan pelakon baru, Putri Mardiana Zainal Abidin bergandingan bersama Esma Danial sebagai pelakon utama.Kata David, dia berhasrat memberi peluang pada pelakon baru termasuk Esma yang sebelum ini lebih dikenali menerusi drama TV muncul di layar perak.
Dia mengambil keputusan memilih kedua-dua pelakon ini atas keyakinan pada bakat dan turut menampilkan kelainan pada aspek pengarahan menerusi Azhari Zain.
"Sebelum ini, saya pernah membawa pelakon baru menjadi pelakon filem seperti Intan Ladyana menerusi Jangan Pandang Belakang (JPB) dan Julia Ziegler yang membintangi Congkak.
"Saya ingin pula beri peluang pada Putri dan Esma pula untuk menjadi hero dan heroin filem ini.
"Bagi Putri, Esma dan Azhari, saya percaya mereka dapat memberi kerjasama dengan baik.
"Malah, saya sendiri sanggup melaburkan RM500,000 untuk aspek pemasaran setiap pelakon utama ini. Azhari pula sebenarnya pernah menimba pengalaman sebagai penolong pengarah dalam filem saya sebelum ini seperti Mami Jarum (2003).
"Dia kini berada dalam senarai Skim 10 Pengarah Muda selepas Pierre Andre, Norliana Samsudin (Yana) dan Farid Kamil. Apa yang saya harapkan, mereka mendapat sokongan untuk menjayakan filem ini," katanya.
Bagi Azhari, dia bersemangat untuk menyiapkan filem berkenaan yang akan bermula penggambaran pada 8 Jun ini di Beranang, Selangor.
Katanya, dia juga mempunyai perasaan takut apabila pertama kali menghasilkan filem genre seram, tetapi mahu berusaha memberikan hasil kerja yang terbaik.
Azhari, 37, mempunyai pendidikan Sarjana Pengarahan Filem dan Drama TV dari Universiti Bond, Australia dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Dia mula serius kerja belakang tabir bersama Prof Madya A Razak Mohaideen dan pernah berlakon dalam beberapa filem antaranya Kuliah Cinta, Nana Tanjung dan Otai. Terbaru, dia bertanggungjawab mengarah drama bersiri, Bio-nik yang sudah mencatat rating sebanyak 3.3 juta penonton.
"Filem lalu seperti JPB, Congkak dan Jangan Tegur menjadi rujukan pada saya untuk mengarah filem baru ini. Namun, saya berpandangan ketiga-tiga filem ini mempunyai kelas tersendiri.
"Sebenarnya, kerisauan dalam diri saya makin bertambah sejak skrip filem ini dihasilkan hingga penggambaran.
"Dalam filem ini, saya cuba gunakan dua elemen penting iaitu menggerunkan dan menjijikkan yang pernah diperkenalkan penulis cerita seram, John Noel.
"Filem antarabangsa seperti The Ring dari Jepun dan Shutter (Thailand), antara karya seram yang saya minati.
"Namun, plot filem ini diambil daripada kisah benar seorang rakan saya yang pernah berdepan dengan santau hingga menimpa keluarganya. Dalam mengolah cerita, saya akan bermain teka-teki dengan penonton. Walaupun ada watak bomoh ditampilkan, tetapi rawatannya tetap gagal.
"Pemilihan pelakon pula, saya fikir ia mempunyai elemen dekat dengan penonton seperti Esma termasuk beberapa pelakon pembantu lain, Mariani, Riezman Khuzaimi, Hisham Ahmad Tajuddin dan Bob Lokman. Filem ini juga memperkenalkan pelakon cilik, Farisya Fatin," katanya.
Pelakon baru, Putri, 28, berkata dia sedar risiko besar yang dipikul sama ada menjayakan filem berkenaan mahupun sambutan penonton nanti.
Namun, dia yakin untuk memberikan sepenuh komitmen kepada filem itu dan mengharapkan lakonannya diterima baik oleh penonton.
Bakat Putri mula dikesan David ketika dia bersaing untuk peringkat akhir pemilihan peserta negara ke Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) yang akan berlangsung di Los Angeles pada 11 hingga 19 Julai nanti. Dalam pemilihan itu, dia berjaya mewakili negara sebagai peserta tunggal untuk kategori lakonan.
"Apabila buat keputusan untuk terima tawaran berlakon filem ini, saya juga sudah bersedia untuk dimarahi pengarah dan dikritik penonton. Peluang ini hadir secara kebetulan dan saya yakin untuk berikan lakonan yang terbaik.
"Dalam menghayati watak Nina, isteri pada Halim (lakonan Esma) yang disantau, saya pernah mempunyai pengalaman sebenar sebelum ini.
"Ketika usia saya 19 tahun, saya sakit teruk hingga muntah darah manakala ketika 22 tahun pula, perasaan saya menjadi berkecamuk dan selepas berubat, secara tiba-tiba ada satu bunjut berisi rambut, jarum dan kulit babi berada dalam tangan saya.
"Saya fikir pengalaman ini dapat bantu saya untuk hayati watak ini dengan baik," katanya.
Sumber : Harian Metro [08/06/09]
Oleh Elrafaei Sapi