#535. Finas Perketat Kawalan
Ia berikutan imej Finas yang tercemar dan tidak mahu nama baiknya terus diguna sewenang-wenang oleh individu tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan. Bahkan, Finas juga bercadang menggunakan kad pintar di pintu masuk bangunan.Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim berkata tidak dinafikan banyak aktiviti dijalankan persatuan dan orang industri di perkarangan Finas.
"Justeru, barangkali pihak keselamatan Finas membuat andaian uji bakat lakonan itu sudah diluluskan."Tidak disangka pula begini jadinya apabila sesi uji bakat diadakan menjadi medan penipuan pengarah drama terbabit. "Apapun, sejak menerima laporan kejadian yang berlaku, kita (Finas) mengambil langkah memperketatkan pemeriksaan keselamatan terutama pada aktiviti diadakan sebelah petang, malam, hujung minggu dan cuti umum.
"Sekiranya, persatuan atau orang seni mahu menjalankan aktiviti seperti mesyuarat, uji bakat lakonan dan penggambaran perlu dapatkan surat daripada Finas.
"Menerusi surat kelulusan itu, barulah mereka boleh menggunakan bangunan Finas untuk menjayakan sebarang aktiviti. "Bukan apa, jika hari bekerja mungkin kita (pihak pengurusan Finas) boleh memantau, tetapi lepas waktu kerja dan cuti cuma pihak keselamatan yang bertanggungjawab," katanya.
Dalam soal ini, katanya, orang ramai jangan mudah terpedaya.
"Apa saja aktiviti diiklankan untuk mencungkil bakat dalam bidang hiburan terus berminat tanpa usul periksa.
"Sepatutnya, mereka hubungi dulu kakitangan Finas atau wakil syarikat yang bertanggungjawab mengadakannya untuk mendapatkan kebenaran. Namun, biasalah orang muda yang memang hendak glamor tidak pernah mengambil kira soal itu.
"Di Finas ini, selalunya semua aktiviti akan berlangsung sudah diuar-uarkan dalam laman web rasmi (www. finas.gov.my dan www.sinemamalaysia.com.my)," katanya.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian 03-4104 1300, 03-4104 1397 atau 03-4104 1398 (Jabatan Komunikasi Korporat Finas) untuk keterangan lanjut.
Ditanya mengapa begitu mudah Finas terlepas pandang, Mohd Mahyidin berkata perkara membabitkan penipuan itu boleh terjadi di mana-mana tempat.
Harian Metro Sabtu lalu melaporkan taktik auta digunakan seorang lelaki cukup mudah dengan
menyamar sebagai anak saudara kesayangan dramatis dan penerbit terkenal, Ziela Jalil.
Malah, dia turut menjaja nama beberapa artis popular tanah air.
Antaranya Yatt, Elly Mazlin, Raja Azri dan Kencana Dewi untuk meyakinkan artis baru bagi meminjamkan sejumlah wang.
Suspek berusia 23 tahun itu juga menyamar penulis skrip dan penerbit drama terkenal termasuk mendakwa dia dibesarkan dalam keluarga seni.
Kejadian yang berlaku awal Mei lalu di Finas itu dikesan menjadikan sesi uji bakat sebagai medan mencari mangsa sebelum dia lesap menghilangkan diri bersama wang ditipunya.
Mangsa diumpan dengan tawaran berlakon drama 66 episod.
Apapun, pelakon dan penerbit drama terkenal, Ziela Jalil, 39, juga sudah menjelaskan perkara itu kepada media dan menganggap perbuatan lelaki yang menyamar anak saudaranya untuk menipu duit orang ramai sebagai perbuatan melampau dan memalukan.
Penerbit Pena Creative itu ketika dihubungi Harian Metro menafikan mempunyai anak saudara lelaki kerana beliau anak tunggal dalam keluarga dan tidak mengetahui bagaimana pengarah auta itu boleh mengaku anak buahnya.
Sumber : Harian Metro [10/06/09]
Oleh Norhayati Nordin