Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 19, 2009

#540. Nostalgia Pak Sudin

Menjenguk seniman veteran di Singapura membangkitkan pelbagai perasaan pada hati warga kerja Hip dan B*Pop. DISANGKANYA tiga tetapi yang tiba di rumahnya lebih daripada 15 orang. Jumlah yang agak mengejutkan Putih Esmon, isteri kepada seniman veteran yang juga pelakon komedi terkenal, S Shamsudin atau Pak Sudin.Namun, pasangan suami isteri ini sangat berbesar hati menyambut kedatangan warga kerja meja hiburan Berita Harian (Hip dan B*Pop) pada 7 Jun lalu. Bahkan, Mak Putih sudah sedia menunggu di depan pintu lif yang terus menuju ke rumahnya di tingkat 7, Bukit Batok Avenue, Jurong, Singapura.

“Laa... ramai yang datang rupanya. Pak Zaini (Zaini Sattar, adik kepada Datuk Aziz Sattar) bilang tiga orang saja. Tak apa, tak apa. Masuklah,” kata Mak Putih yang cukup mesra menyambut kedatangan rombongan kami.Tak lama kemudian, Pak Sudin yang berbaju kemeja lengan panjang dan kain pelekat muncul di depan pintu dan dengan wajahnya senyum, mempelawa kami masuk dan mempersilakan duduk di atas sofa sedangkan beliau sendiri selesa melabuhkan punggungnya di kerusi makan saja.

Dari raut wajahnya, ternyata Pak Sudin tidak seperti Shamsudin yang biasa kita tonton di kaca TV. Tubuhnya sangat kurus dan sedikit membongkok. Memang sesekali beliau cuba hendak berjenaka tetapi kerut wajahnya memperlihatkan dirinya sedang menahan kesakitan.

“Dia (Pak Sudin) baru sehari dua boleh bangun dan duduk begini. Selalunya dia baring saja. Dia memang sudah tak larat nak jalan jauh-jauh,” kata Mak Putih sambil menghulurkan sepinggan cucur bawang yang panas kerana baru saja digoreng.

Biarpun kesihatan Pak Sudin tidak mengizinkan bergerak cergas disebabkan usia tuanya, beliau masih mampu tersenyum menunjukkan deretan gigi palsu yang dipakai. Susuk badannya juga nampak susut.

“Sekarang nak makan pun dah tak sedap. Bukan pasal sakit, tapi pasal kena pakai gigi palsu,” kata Pak Sudin sambil menunjukkan beberapa batang gigi palsu yang dipakainya. Lenggok percakapannya hampir sama dengan dialog dalam filem komedi lakonannya.

Apapun, Pak Sudin pada usia sudah mencecah 80 tahun masih tabah meneruskan kehidupan mendatang. Biarpun agak uzur, wajahnya tidak banyak berubah seperti kita boleh lihat dalam filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok - filem yang dianggap sebagai antara karya agung Tan Sri P Ramlee seterusnya menjadikan ingatan peminat filem klasik terhadap Pak Sudin tidak pernah padam.

Filem itu juga membuatkan nama Pak Sudin terus malar segar. Sebenarnya, selain keempat-empat filem itu, banyak juga filem dibintangi Pak Sudin seperti menjadi penyamun bersama-sama Aziz Sattar dalam Nujum Pak Belalang atau sebagai pencerita menerusi filem Tiga Abdul.

Biarpun terkenal dengan watak komedi, Pak Sudin sebenarnya pernah memegang peranan serius dan berat seperti menjadi Hang Lekir dalam filem Hang Tuah atau menjadi kawan serumah Ghazali (P Ramlee) bernama Sudin dalam filem Antara Dua Darjat.

Malah, dalam pembabitan awal sebagai pelakon, Pak Sudin tidak ditampilkan sebagai pelakon komedi. Misalnya, dalam filem Istana Impian arahan V Girimaji pada 1953, Pak Sudin memegang watak bernama Sulung iaitu seorang yang baru memiliki kekayaan menjadi bongkak dan sering menghina orang yang tidak setaraf dengannya terutama terhadap Salim (lakonan Allahyarham Ahmad Mahmud) dan Sapiah (Allahyarham Saadiah).

Bagaimanapun, sekarang dengan keadaan kesihatannya yang semakin tidak mengizinkan, Pak Sudin menolak sebarang tawaran untuk berlakon. Malah, undangan untuk membuat persembahan amal anjuran penduduk setempat juga terpaksa ditolak. Semuanya kerana kudratnya yang sudah tidak berupaya untuk bergerak seperti dulu.

Ia kerana sejak lapan bulan lalu, Pak Sudin menghidap penyakit asma, paru-paru berair dan darah tinggi. Dalam keadaan itu, waktunya lebih banyak dihabiskan di rumah dan sesekali rumahnya terus dikunjungi rakan atas dasar hubungan silaturahim yang ingin terus dijaga.

Hampir sejam berada dalam rumah yang dihiasi ringkas saja. Di ruang makan, tergantung pada dinding gambar hitam putih beliau dan Aziz Sattar. Ingatan kami mula terbawa-bawa dalam cerita lakonannya bersama P Ramlee dan Pak Aziz. Apatah lagi saat mula menatap bingkai gambar lama Pak Sudin ketika aktif berlakon yang tersusun cantik di dinding dan kabinet rumahnya.

Biarpun singkat pertemuan itu, ia cukup memberi makna tersendiri. Pak Sudin dan Mak Putih cukup terharu. Suaranya agak sebak dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih atas kesudian kami meluangkan masa menziarahi mereka.

Sebagai tanda besar hati itu, Pak Sudin dan isterinya bersusah payah menjamu kami dengan hidang pisang goreng dan cucur bawang bersama-sama teh ‘O’. Malah, kalau ikutkan Mak Putih dia sudah bersedia untuk memasak soto. Tetapi kami terpaksa menolak kerana tidak mahu menyusahkannya.

Menurut Mak Putih, suaminya tidak banyak bercakap dan ingatannya juga kadang-kadang mula pudar. Namun, kalau mahu dibandingkan sejak dulu, suaminya itu kini jelas mahu juga bersuara. Katanya lagi, bapa kepada tujuh anak dan 14 cucu itu kurang berselera kerana gigi palsu yang dipakainya mula membuatkan nikmat makannya mula terhakis.

“Dia (Pak Sudin) memang takut nak pergi ke hospital dan seboleh-bolehnya dia memang mahu mengelak memakan ubat diberikan hospital. Malah, dia lebih suka memilih untuk memakan ubat yang dibeli di luar seperti farmasi atau kedai ubat.

“Pergerakannya memang agak terbatas selama dia bertarung dengan pelbagai penyakit ini. Cuma sesekali, dia akan bergerak berjalan di sekitar perkarangan rumah untuk mengambil angin. Dia pun sudah jarang berlakon disebabkan masalah kesihatan dihadapinya,” kata Mak Putih.

Sebelum mengundurkan diri, Kelab Hiburan Berita Harian menyerahkan sedikit sumbangan serta cendera hati kepada Pak Sudin dan isterinya. Ia diserahkan Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah bersama-sama Pengarang B*pop, Akmal Abdullah serta Penolong Pengarang Hiburan, Zainuri Misfar.

Menziarahi Pak Sudin ini adalah sebahagian atur cara lawatan warga kerja Unit Hiburan Berita Harian/Berita Minggu bersama keluarga masing-masing ke Singapura yang turut mendapat sokongan Singapore Tourism Board (STB) dan Sinarmas Travel dari Sungai Petani, Kedah.

PROFIL:

S Shamsudin atau Shamsudin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 1 Januari 1929. Bapanya, Dali Kechik berasal dari Melaka, manakala ibunya pula, Khatijah Ahmad dari Geylang, Singapura.

Sebelum menceburi lakonan, S Shamsudin atau Sudin melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi buruh kasar. Mula terbabit dalam filem sebagai pelakon tambahan dalam filem Chempaka arahan B S Rajhans pada 1948. Selepas itu ditawarkan berlakon dalam filem Aloha pada 1950 dengan peranan sebagai kawan baik P Ramlee (Allahyarham Tan Sri).

Daripada pekerja biasa di di Studio Malay Film Production (MFP), Sudin dinaikkan taraf sebagai pelakon dengan kontrak awal selama tiga tahun.

Bintang Sudin terus bersinar apabila menjadi pelakon utama dalam filem Tas Tangan Wanita arahan L Krishnan (Datuk) pada 1952 yang turut membariskan Osman Gumanti, Neng Yatimah dan Siti Tanjung Perak.

Lakonannya terus meningkat apabila P Ramlee untuk pertama kalinya mengarahkan filem komedi pada 1957 iaitu Bujang Lapok. Dalam filem itu, Sudin adalah antara tunjang utama selain P Ramlee sendiri dan Datuk Aziz Sattar.

Selepas kejayaan besar Bujang Lapok, P Ramlee melanjutkan watak Bujang Lapok dengan tiga filem seterusnya iaitu Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok.

Sebuah lagi yang menampilkan kekuatan Sudin ialah Antara Dua Darjat pada 1960. Filem itu menampilkan watak Sudin yang agak serius walaupun masih ada unsur komedi.

Apabila MFP di Singapura di tutup, Sudin berlakon dalam filem Keluarga Si Comat arahan kawan akrabnya, Aziz Sattar pada 1975. Sehingga kini beliau sudah berlakon hampir 40 filem dengan filem terakhir yang dibintanginya ialah Pontianak Harum Sundal Malam pada 2005.

S Shamsudin berkahwin dengan Puteh Esmoon pada 1954. Perkahwinan mereka dikurniakan tujuh anak.

Sumber : Berita Harian [11/06/09]
Oleh Zainuri Misfar dan Zaidi Mohamad

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP