Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 19, 2009

#542. Sunyi Tanpa Canda Shukery

SEPANJANG hayatnya bergelar seorang anak seni, segala macam dugaan yang dialami, namun berkat kesabaran, Mohamad Shukery Hashim, muncul antara nama pelakon yang disegani masa kini.Beratus sudah drama yang menggunakan khidmatnya. Pelbagai watak juga sudah dibawa tetapi Shukery sering menjadi buruan penerbit untuk membawakan watak orang kaya, golongan korporat, Datuk serta watak komedi.Namun, segala itu hanya tinggal memori. Sedang drama lakonannya sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen menerusi drama Cinta Gila, Shukery telah pergi untuk selamanya-lamanya.Allahyarham meninggal dunia selepas hampir empat bulan menderita penyakit barah pankreas yang telah merebak ke seluruh tubuhnya termasuk bahagian tulang belakang dan otak.Semenjak mengetahui penyakit barah sudah berada di tahap keempat pada Mac lalu, arwah hanya berulang-alik dari rumah ke hospital, sehingga berat badannya semakin menyusut akibat selera makan yang semakin berkurangan.

Deritanya meraih perhatian ramai pihak termasuk media dan rakan artis yang berkesempatan melawatnya di hospital. Meskipun dalam kesakitan, masih tergambar senyuman pada wajahnya saat melayani tetamu yang hadir.

Menurut anak keduanya Nurizety, yang ditemui di kediamannya semalam berkata, arwah ayahnya itu merupakan seorang yang cukup suka bergurau sehinggalah dia terlantar sakit di hospital.

"Arwah ayah tidak pernah kering idea untuk membuat kami sekeluarga tertawa, bila dia sakit pun sampat lagi buat lawak. Itu yang saya terasa sangat kehilangannya. Lepas ni rumah kami sunyi tanpa gurau-senda ayah.

"Isnin lepas masa jumpa arwah di hospital, ayah cakap lepas sihat ayah nak pergi Mekah, nak bawa anak cucu berjalan pergi makan angin dan bercerita tentang tempat makan yang arwah ingin pergi.

"Malah, arwah juga menyampaikan hasrat untuk bergambar bersama keluarga dan kami laksanakan hasratnya itu, tetapi tidak menyangka itu kenangan kami yang terakhir," katanya dalam linangan air mata.

Isteri Allahyarham, Faridah Mad Desa, 51, pula menceritakan semenjak arwah suaminya disahkan menghidap penyakit barah pankreas, arwah sentiasa berfikiran positif meskipun doktor memberitahu arwah hanya mampu untuk hidup dalam masa setahun.

Namun, Allah lebih menyayangi arwah, dan arwah pergi sambil ditemani semua anak-anaknya termasuk isteri di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada pukul 1.45 tengah hari semalam.

"Masa dimasukkan ke PPUKM pada pagi Jumaat lalu, apabila arwah mengadu perutnya sakit dan keras dan tidak tahan sakit yang ditanggung.

"Selepas makan ubat, arwah okey dan kata macam sihat pula. Masa itu saya berborak dengannya macam biasa, sampai arwah kata kalau dia pergi dulu dia tunggu saya di syurga," tutur Faridah dalam kesedihan.

Katanya lagi, sebelum arwah sakit kuat, arwah banyak menghabiskan masanya untuk berjumpa rakan-rakan lama, serta minta dihalalkan segala hutangnya.

Selain kaum keluarga, ramai juga sahabat handai termasuk rakan artis yang menziarahi jenazahnya, termasuk aktor Rosyam Nor yang turut terasa kehilangan seorang rakan dan bapa.

"Arwah banyak kali berlakon dengan saya dan saya selalu jadi anaknya dalam drama. Mungkin sebab itu hubungan kami rapat. Saya ada melawatnya semasa arwah pulang ke rumah dan kami berbual tentang banyak perkara.

"Antara katanya yang menyentuh perasaan saya, masa sakitlah baru kita tahu nikmat yang Allah berikan kepada kita. Selama ini makan dan tidur senang tetapi apabila sakit semua perkara itu menjadi sukar. Dan apabila berjaya dilakukan dengan mudah ia bagaikan nikmat," ujar Rosyam yang mengenali arwah sejak dia berumur 18 tahun.

Tambah Rosyam, arwah turut memberitahunya dia berbangga dengan hasil duit lakonan dia berjaya membina rumah dan membesarkan anak-anaknya seramai lima orang.

"Arwah bukan sekadar rakan, dia juga penasihat ekonomi saya. Arwah selalu pesan setiap apa yang dilakukan adalah untuk keluarga, malah, masa saya mula-mula buka syarikat dialah orang pertama yang melawat dan mendoakan agar syarikat saya maju," tutur pelakon dan penerbit ini lagi.

Pengarah drama terkenal, Rashid Sibir yang bergegas ke rumah arwah daripada penggambaran drama Kasih Tercipta memberitahu, dia mengenali arwah secara rapat apabila mengarah drama Mat Despatch pada tahun 1997.

"Apa yang saya kenali, arwah seorang yang merendah diri, tidak ambil pusing tentang orang lain dan tidak pernah merungut kalau penggambaran mula lambat walaupun dia datang awal.

"Kali terakhir saya bekerja dengan arwah untuk drama Keliwon episod Hantu Kopek. Bagi saya pemergiannya terlalu cepat kerana ketika melawatnya di hospital, arwah nampak sihat. Sekarang, kita telah hilang seorang lagi pelakon yang berbakat," katanya.

Selain terkenal sebagai pelakon drama, wajahnya juga pernah diabdikan dalam filem Rahsia (1987), Ujang (1989), Syahadat (1992), Seri Dewi Malam (2001), Janji Diana (2003) dan terbaru, Shh... Dia Datang.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan lima orang anak, Nurshikin, 28, Nurizety, 27, Mohd. Firdza, 24, Mohd. Aidil, 21, dan Mohd. Amirul, 14, selamat dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Keramat semalam.

Sumber : Kosmo [11/06/09]
Oleh HARYATI KARIM

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP