Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 19, 2009

#544. @Sinepleks : 24 Filem Tunggu Masuk Panggung

Walaupun banyak judul baru, tidak semua bersedia untuk ditayangkan

SEBANYAK 12 filem yang dihasilkan oleh syarikat penerbitan tempatan sudah ditayangkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2009. Mengikut data Unit Wajib Tayang Finas, bagi tempoh enam bulan kedua tahun 2009 pula, dianggarkan ada 24 filem sedang menunggu untuk dibawa masuk ke panggung.

Bagaimanapun, daripada 24 filem itu, ada beberapa filem yang statusnya agak diragui. Memang ada filem yang sudah siap dan menunggu masa untuk ditayangkan seperti Skrip 7707, Pappadom, Jin Notti, Mualaf, Estate dan Setem. Namun, ada juga beberapa filem yang belum diketahui statusnya sama ada sudah siap sepenuhnya atau tersekat kerana masalah mendapatkan pembiayaan promosi.Antaranya ialah filem Shhh...Dia Datang, Gentayangan, Aduh Saliha, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Lu Fikirlah Sendiri The Movie dan Misteri Dendam Balan Balan.

Agak menghairankan juga kerana sehingga kini filem yang dilaporkan menelan belanja besar tidak diketahui sejauh mana tahap proses pembikinannya. Misalnya, filem Mat Kilau yang dikatakan membabitkan kos RM10 juta!

Adalah diharapkan filem-filem seperti ini janganlah hanya gah di atas kertas saja dengan membesar-besarkan kos pembikinannya. Ia ibarat seorang pelari pecut yang hanya pantas di garis permulaan tetapi belum pun tiba di pertengahan, sudah mula tercungap-cungap, semput dan mungkin jadi pitam.

Sementara itu, Tarantella Pictures terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri perfileman di Malaysia apabila judul demi judul diterbitkan syarikat berkenaan, dengan kerjasama Astro Shaw mahupun Nusantara Films.

Selepas Diva (2007), Tipu Kanan Tipu Kiri (2008) dan Crazy Kreizy Krazy yang akan ditayangkan di Indonesia dan Malaysia pada Julai depan, Tarantella menghasilkan filem Lagenda Budak Setan.

Diarahkan oleh Sharad Sharan, yang juga Pengarah Urusan syarikat penerbitan itu, Lagenda Budak Setan ialah filem yang diangkat daripada novel terkenal tulisan Akadiat Akashah.

Filem cinta ini menampilkan barisan bintang muda tanah air seperti Farid Kamil, Lisa Surihani, Que Haidar, Fazura, Shikin, Raja Farah, Nubhan, Syed Nabil dan Zoey.

Kisah bermula dengan kenakalan Kasyah, seorang pelajar kolej yang sering membuli dan mengenakan pelajar lain, bersama beberapa rakannya. Sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kehadiran pelajar baru, Ayu, yang menambat hati pemuda terbabit.

Hubungan Kasyah dan Ayu bertambah erat dengan bibit percintaan mulai bercambah. Pada semester akhir, Kasyah ke kawasan pedalaman bagi menjalankan kajian untuk tugasannya. Mereka tidak berhubungan dengan harapan Kasyah dapat menumpukan perhatian pada kajiannya.

Ketika pemergian Kasyah, bekas kekasih Ayu, Azmi, muncul menagih cinta. Azmi menggunakan kedudukan dan kemewahan keluarga bagi mempengaruhi ibu Ayu, Mak Leha, agar memujuk gadis itu berkahwin dengannya. Berpura-pura sakit tenat, ibu Ayu berjaya meminta anaknya berkahwin dengan Azmi, meskipun hatinya mencintai Kasyah.

Sebaik saja pulang ke kampus, Kasyah yang tidak mengetahui perkahwinan Ayu dan Azmi, terkejut dengan berita yang diterimanya itu.

Masa berlalu, rumah tangga Ayu dan Azmi berantakan lantaran sikap Azmi yang panas baran dan pemabuk. Ayu sering dipukul. Suatu malam, akibat tidak tahan dipukul Azmi, Ayu bertindak melarikan diri dari rumah dengan memandu kereta. Ayu hilang kawalan lalu terbabit dalam kemalangan. Ayu cedera parah dan dibawa ke hospital. Mukanya hancur dan terpaksa melakukan pembedahan plastik. Wajahnya berubah, tetapi dia pulih semula. Seterusnya Ayu menuntut perceraian.

Bersama wajah berbeza dan dengan trauma kehidupan lampau, Ayu kini bertekad untuk memulakan hidup baru. Bersama wajah barunya dan dengan pampasan perceraian, dia membuka syarikat perniagaan serta menampilkan diri sebagai Emilia. Menerusi Suzana, kawan rapatnya ketika di universiti, Kasyah diambil bekerja.

Kasyah yang mulanya tidak perasan kehadiran Ayu dalam diri Emilia, mulai berasakan sesuatu kerana persamaan yang dimiliki antara dua wanita itu. Emilia mendapati Kasyah masih setia menyintai Ayu. Keadaan itu menambah deritanya apabila Kasyah tidak menerima Emilia dalam hatinya.

Bagi pembaca novel popular ini, tentunya filem Lagenda Budak Setan bakal menjadi judul yang ditunggu-tunggu apabila ia memasuki panggung tahun depan. Ia muncul projek khas keempat Astro Shaw, dalam penghasilan filem yang diharap dapat dipasarkan di negara luar.

Sharad sendiri yakin, filem itu berbeza apabila mempertaruhkan visual yang kuat, muzik latar yang baik di samping barisan pelakon yang mantap. Dia juga berusaha mengekalkan rasa yang wujud dalam naskhah asal, budaya serta jalan cerita yang menggamit jiwa dalam filem terbabit.

Lagenda Budak Setan turut mendapat sentuhan luar seperti Mike (United Kingdom) sebagai jurukamera, manakala muzik dan lakon layarnya oleh pemuzik dan penulis Indonesia.

Carta pecah panggung:

1 - Terminator Salvation

2 - Jangan Pandang Belakang Congkak (Melayu)

3 - Night At The Museum 2

4 - Monsters vs. Aliens (3D)

5 - 17 Again

6 - Hannah Montana The Movie

7 - Angels & Demons

8 - Syurga Cinta (Melayu)

9 - Fighting

10 - Thoranai (Tamil)

Sumber : Berita Harian [13/06/09]
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP