Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 26, 2009

#576. Hype : Semai Sikap Tak Puas Hati

SUDAH menjangkau enam tahun model dan pelakon Jehan Miskin, 29, membabitkan diri dalam dunia seni. Namun, pemuda kelahiran Pulau Pinang ini belum berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapinya setakat ini.Bunyi seakan-akan tamak kerana kalau dilihat, Jehan sepatutnya bangga kerana sudah membintangi banyak drama mahupun filem seperti Manjalara, Mentua VS Menantu, Puteri Salju, Gong, Anak Halal dan Qaisy & Laila.Sehingga hari ini rezeki Jehan dalam dunia lakonan tidak pernah putus dan sentiasa disambar penerbit. Lakonannya kini dapat disaksikan di TV3 menerusi slot Samarinda, Suria Kasandra setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam berganding dengan Intan Ladyana.

Kata Jehan, usianya sebagai pelakon masih mentah dan mengakui perjalanannya masih jauh untuk terus membina nama kukuh sebagai aktor yang paling disegani di negara ini. Tidak dinafikan, selain memiliki wajah kacak, Jehan juga mempunyai karisma untuk diangkat sebagai pelakon berkaliber.

Bahasa tubuh dan gaya lakonannya membuktikan dia tidak cuba untuk meniru mana-mana pelakon yang sedia ada sebaliknya, berjaya membina namanya sendiri. Kekuatan identitinya membuatkan Jehan berjaya mempertahankan kariernya sehingga hari ini.

“Sebagai insan seni sudah tentu saya bersyukur dan gembira dengan apa yang dikecapi. Namun, itu bukanlah satu penanda tamatnya perjalanan pelajaran dalam bidang seni lakonan.

“Malah, saya akan sentiasa belajar untuk membaiki kelemahan diri kerana tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini. Walaupun sudah berada di tahap yang tinggi, sebagai pelakon sikap suka mempelajari benda baru perlu ada.

“Ini penting kerana seni lakonan juga sentiasa mengalami perubahan mengikut peredaran masa. Sekiranya, kita tidak mahu belajar untuk mempertingkatkan kemahiran kerana fikir diri bagus sangat, tidak mustahil suatu hari nanti segala kenikmatan yang dikecapi akhirnya tersungkur jua.

“Disebabkan itu, saya sentiasa menyemai sikap tidak puas hati dalam peribadi diri. Bukan bererti tidak mahu mengucapkan syukur dengan apa yang diperoleh atau tamak, namun saya fikir semangat belajar perlu diterapkan dalam diri. Tambahan pula, apabila bercakap mengenai ‘belajar’, ia menuntut manusia itu mendalami ilmu hingga akhir hayat,” katanya.

Sekiranya segelintir pelakon melenting apabila dikritik mengenai tahap lakonan, berlainan pula dengan Jehan. Baginya, kritikan membantu ke arah peningkatan mutu lakonan.“Apabila membabitkan diri dalam pentas lakonan tempatan, bukan saja perlu mensahsiahkan sikap suka belajar dalam keperibadian diri malah turut meliputi keterbukaan menerima kritikan.

“Saya tidak melihat dari sudut pelakon lain, tetapi daripada saya sendiri, kritikan adalah satu nasihat berguna untuk berlakon dengan lebih baik.

“Saya fikir, sikap keterbukaan menerima kritikan membantu melihat kelemahan diri lantas berupaya membawa ke arah pembaikan kualiti lakonan. Justeru, saya tidak ambil hati apabila ada yang bersuara mengkritik lakonan saya,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini, kata Jehan, dia sedang menjalani latihan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa, karya sulung Yusry Abdul Halim. Selain itu, Jehan turut menerima tawaran berlakon telefilem Doa Ibu untuk siaran Astro Prima, Mentua VS Menantu dan Cinta Biru Laguna untuk TV9.

Akui Jehan, jadual kerjanya memang sibuk hingga tiada waktu untuk merehatkan diri. Namun, kerana memikirkan itulah karier dan tempatnya mencari pendapatan halal, Jehan tidak kisah semua itu.

“Saya memang suka bekerja. Lagipun, saya membabitkan diri dalam bidang yang disukai iaitu lakonan. Kata orang, apabila buat sesuatu benda yang kita minat, ia tidak akan jadi bebanan. Malah, kita sanggup bekerja keras untuk sentiasa cemerlang.

“Bagaimanapun, saya tidak terus sasarkan diri untuk kerja berterusan. Sistem kerja saya, tiga bulan aktif kemudian satu bulan rehat. Ini secara tidak langsung, membuatkan peminat tidak jemu melihat lakonan saya,” katanya.

Mengenai teman hidup, Jehan yang pernah putus cinta dengan pelakon Zuliana Abdul Aziz atau Jue pada Mac tahun lalu, mengakui belum berminat mencari pengganti.

Malah mengakui pernah tidak yakin dengan institusi perkahwinan dan hampir menoktahkan impian mulia itu. Bukan itu saja, melihat senario kahwin cerai di kalangan selebriti yang semakin menular dan hampir menjadi virus pula turut membimbangkan Jehan.

“Memang saya takut melihat fenomena ini hingga berfikir dua tiga kali apabila diajukan perihal perkahwinan. Namun, masa berlalu sejajar dengan peningkatan usia dan kematangan, akhirnya mengembalikan keyakinan diri terhadap sistem perkahwinan.

“Perubahan diri lahir apabila melihat kegembiraan hidup berkeluarga di samping seronok melihat keletah anak kecil. Melihat situasi itu, tanpa disedari saya tersenyum dengan kemeriahan sistem kekeluargaan yang tercantum indah,” katanya.

Sumber : Harian Metro [26/06/09]
Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP