#15. Hype : Jins Penerima Anugerah Seniman Negara
12hb Januari, 2009
Berita Harian
Farihad Shalla Mahmud
Kerajaan hargai jasa, pengorbanannya selama 53 tahun dalam bidang seni
JASA dan sumbangan beliau dalam bidang seni dan juga kepada masyarakat khasnya kepada golongan artis menjadikan tokoh perfileman tanah air, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin diangkat sebagai penerima Anugerah Seniman Negara yang kelapan.
Satu pilihan yang tepat dan tidak perlu dipertikaikan kerana diakui sepanjang 53 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni, banyak keringatnya tumpah semata-mata untuk membangunkan industri yang amat dicintainya itu.
Malah, perkara ini diakui sendiri Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu sidang media khas yang berlangsung di Galeri Bangunan Sultan Abdul Samad, Jumaat lalu.
“Diakui, selepas setengah abad mencurah keringat, sumbangan beliau dalam industri perfileman dan seni tanah air tidak dapat ditandingi. Justeru beliau diputuskan sebagai calon paling layak menerima anugerah itu,” kata Shafie.
Shafie berkata sebagai pemenang hadiah utama dalam Anugerah Seni Negara (ASN) Kelapan, Jins akan menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis tidak lama lagi.
Sebagai penghargaan di atas pengiktirafan itu, Shafie memberitahu tokoh seni itu akan menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, trofi, sepersalinan lengkap baju Melayu songket dan kemudahan perubatan percuma wad kelas pertama di hospital kerajaan.
“Jins juga akan menjadi pengkarya, pencipta karya tamu kehormat dan pakar rujuk dalam bidangnya serta dilantik sebagai wakil kementerian pada seminar atau forum peringkat kebangsaan serta antarabangsa.” katanya sambil memberitahu sehingga kini seramai tujuh pencinta seni dan budaya telah dinobatkan sebagai Seniman Negara berdasarkan pembabitan mereka dalam pelbagai bidang.
Selain Jins, majlis anugerah yang diadakan dua tahun sekali ini turut mengiktiraf beberapa penggiat seni menerusi kategori Anugerah Karyawan Seni. Mereka adalah pelakon, pengarah teater dan bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia, Fauziah Nawi, pelakon berkarakter dan juga pengacara, Datuk Jalaluddin Hassan, pengarah tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan penari Norsiah Yatim serta pelakon dan penerbit terkenal, Rosyam Noor.
Menerusi kategori Anugerah Bakat Muda pula menyaksikan pelakon serta pengarah muda, Farid Kamil diumumkan penerima Anugerah Bakat Muda bagi kategori seni filem. Pada acara itu nanti, akhbar Berita Harian turut menerima Anugerah Pendukung Seni bagi kategori sektor media.
Anugerah untuk semua anak seni
TERUJA dan bersyukur. Itulah reaksi tokoh seni yang berkarisma ini saat diumumkan sebagai penerima Anugerah Seniman Negara kelapan selepas Datuk Ahmad Nawab yang menerima penghormatan itu sekitar dua tahun lalu.
Hadir berbaju Melayu lengkap rona biru, Jins menerima pengiktirafan itu dengan hati yang terbuka sambil menyifatkan anugerah itu sebagai satu hadiah untuk semua golongan anak seni.
“Akan saya gunakan anugerah dan pengiktirafan ini dengan sebaiknya. Mungkin saya akan berkongsi rahsia kejayaan saya kepada mereka di luar sana dengan memberi ceramah dan meneruskan perjuangan saya untuk anak seni memandangkan saya satu-satunya wakil dari golongan itu di Parlimen.
“Buat masa ini misi saya adalah untuk memastikan golongan artis juga mempunyai skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan mereka untuk menjalani kehidupan selesa ketika hari tua mereka kelak,”ujar pengarah yang terkenal dengan filem yang bermula dengan perkataan Esok ini.
Andai mahu dihitung, bukan sedikit sumbangan Jins dalam bidang seni. Selain menjadi wakil tunggal artis dalam Parlimen, Jins juga banyak membabitkan diri dalam hal politik serta kemasyarakatan. Malah dalam sibuk dengan tugas seharian dia masih sempat menimba ilmu.
“Saya sekarang sedang melanjutkan peringkat Doktor Falsafah di Universiti Utara Malaysia dan kini sedang dalam peringkat akhir membuat tesis. Tujuan saya melanjutkan pelajaran ini, selain ingin meluaskan ilmu yang ada, saya juga mahu menjadi contoh kepada orang lain bahawa umur bukanlah penghalang untuk seseorang itu menuntut ilmu. Jika saya boleh, mengapa mereka tidak,” katanya yang pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School dari 1970 hingga 1972 dan dianugerahkan Diploma dalam Teknologi Filem (Motion Picture Technology) dengan Kepujian Kelas Pertama.
Menjangkau usia 73, 5 November lalu, Jins berkata tidak ada apa yang diharapkannya ketika ini melainkan ingin melihat filem Pasir Salak yang pernah diuar-uarkan suatu ketika dulu berjaya disiapkan.
“Setakat ini, saya sudah pun menyelesaikan peringkat kaji selidik filem ini di mana saya terpaksa mencari bahan sehingga ke luar negara. Saya akui ada banyak halangan yang terpaksa saya hadapi untuk menghasilkan filem ini umpamanya masalah kos kerana ia membabitkan jutaan ringgit.
“Mungkin selepas ini saya akan meminta bantuan Finas untuk menampung perbelanjaan untuk menghasilkan filem ini. Bukan tak boleh minta sebelum ini tetapi waktu itu saya masih menjawat jawatan Pengerusi Finas dan tak manis rasanya jika saya meminta bantuan.
“Ini bila kontrak saya sudah pun habis dan bebas, bolehlah minta bantuan mereka. Memang impian saya untuk menyudahkan juga filem ini,” luah pelakon kelahiran Taiping, Perak ini.
Selain itu, cerita Jins dia juga ingin menerbitkan sebuah filem mengenai sifu yang berjaya memperkenalkannya ke layar kaca iaitu Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Filem ini berkisar kepada kisah hidup Seniman Agung itu. Saya sudah pun mendapat kebenaran bertulis dari pihak keluarga Allahyarham. Insya-Allah, saya akan terbitkan filem ini sebaik saja saya selesai mengarahkan filem Pasir Salak.
“Kedua-dua filem ini amat bermakna dalam hidup saya. Lega rasanya kalau filem ini berjaya dihasilkan. Pendek kata kalau saya berjaya menyiapkan kedua-dua filem ini, kalau saya mati pun, mata saya akan terpejam rapat,”ujar Jins berkias.
Selain menerima penghormatan tertinggi itu, Jins juga meraih kejayaan berganda apabila dilantik sebagai profesor di Universiti Lim Kok Wing selama tiga tahun.
0 ulasan:
Catat Ulasan