Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Mac 05, 2009

#209. Isu : P Ramlee bakal dapat gelaran Tun

Pengiktirafan hargai jasa tidak ternilai

PADA 8 Januari lalu, ruangan ini pernah mengulas mengenai cadangan Presiden Majlis Muzik Malaysia yang juga Pengerusi Majlis Artis Hiburan Tanah Air (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan yang menyifatkan sudah tiba masanya, P Ramlee (Allahyarham) dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tun.

Dengan tajuk ‘Kewajaran anugerah gelaran Tun untuk P Ramlee’, ruangan ini turut menyatakan hujah bahawa keperluan memberi anugerah gelaran Tun penting sebagai simbolik dan mengambil kira kesan yang diberikan menerusi karya yang ditinggalkan P Ramlee kepada rakyat di negara ini kerana ia meninggalkan benchmark terbaik untuk mengukur hasil sebuah karya bermutu tinggi dan memberi kesan positif kepada pemikiran dan kehidupan masyarakat.

Cadangan itu harus diambil kira dari segi menilai, meninjau dan mengkaji semula pencapaian dan sumbangan bakti serta warisan seni yang ditinggalkan P Ramlee nyata begitu besar terhadap pembangunan jiwa dan sosial rakyat kerana karyanya mendidik dan mengajak masyarakat untuk mengerti sebuah kehidupan, keadilan, maruah diri, perpaduan, patriotik, semangat moral dan menghormati budaya bangsa.

Hasrat itu nampaknya bakal menjadi kenyataan kerana dalam Dewan Rakyat kelmarin, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mahu mencadangkan kepada pihak yang berkenaan untuk mengurniakan anugerah dengan gelaran Tun kepada Seniman Agung itu.

Timbalan Menterinya, Teng Boon Soon, berkata pihak kementerian menyokong penuh gelaran Tun untuk P Ramlee setelah mengambil kira jasa besarnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan di negara ini, malah ia terus dihargai dan dikenang sehingga kini. Katanya, kehebatannya itu bukan sekadar berlakon, menghasilkan skrip dan mengarah filem, tetapi juga bermutu dari segi pengkaryaan menghasilkan lagu, seni suara, menjadi pemuzik dan pelawak.

Cadangan itu juga sebagai menjawab saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat yang berpendapat gelaran Tan Sri untuk P Ramlee ketika ini tidak mencukupi kerana gelaran itu juga sudah diberikan kepada beberapa seniman lain walaupun sumbangan mereka tidak sebesar Allahyarham.

Ini bererti jika saranan kementerian itu diterima pihak berkenaan, maka gelaran Tun kepada kepada P Ramlee akan dibuat secara posthumous, iaitu selepas hampir 36 tahun beliau meninggal dunia. Gelaran Tan Sri yang diperoleh Allahyarham dulu pun diberikan secara posthumous, selepas 17 tahun kematian beliau, diberikan pada 1990 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Azlan Shah.

Memang wajar dan selayaknya Allahyarham dikurniakan gelaran Tun. Kenangan, penghargaan dan pengiktirafan untuk jasa bakti dan sumbangan besar P Ramlee dalam bidang perfileman, muzik dan seni budaya di negara ini seharusnya berterusan. Ini mengambil kira kesan kebanyakan karya filem dan muzik P Ramlee meninggalkan pengajaran kuat pada masyarakat, malah menjadi simbol perpaduan rakyat di negara ini kerana karyanya turut disukai pelbagai lapisan kaum, usia dan kelas masyarakat.

Pada 29 Mei ini, genap 36 tahun Allahyarham bersemadi dan selama itu jugalah namanya terus harum kerana sering disebut di kalangan masyarakat apatah lagi karya muzik dan filemnya berterusan dan saban hari dapat ditonton dan didengar peminatnya serta generasi baru kini. Sekali fikir kehebatan P Ramlee ini lebih dikenang, dihargai dan disebut sepanjang masa berbanding tokoh dalam bidang lain yang juga banyak berjasa untuk negara kerana khazanah seni P Ramlee itu sendiri yang menyebabkan ia sering mendapat perhatian dan terus disajikan kepada masyarakat. menerusi media elektronik.

Memang benar apabila gelaran Tun diberikan kepada P Ramlee ia membuktikan kedudukannya diletakkan di tempat lebih tinggi dalam industri hiburan dan seni budaya di negara ini sekali gus tidak mampu disaingi oleh mana-mana artis atau anak seni lain, malah sehingga kini kita belum menemui bakat hebat di kalangan artis zaman alaf baru yang mampu setanding Seniman Agung itu.

Memang secara logik sepatutnya sudah lama sepatutnya kita meletakkan pengiktirafan tertinggi kepada P Ramlee atas nama rakaman penghargaan tidak ternilai ke atas jasanya kerana Allahyarham meninggalkan khazanah dan warisan seni yang tidak tidak ternilai harganya - juga tidak akan dapat ditandingi mana-mana anak seni lain kerana karya P Ramlee walaupun bukan semua tetapi kebanyakannya terus relevan dan melangkaui zaman kerana terus disukai sampai sekarang terutama dari aspek kritikan sosial dan politik, peradaban, kemanusiaan, kekeluargaan dan kasih sayang.

Penganugerahan gelaran Tun kepada P Ramlee kelak juga bakal memberi satu inspirasi dan kebanggaan buat masyarakat kerana dalam bidang seni budaya dan industri hiburan di negara ini ada satu contoh terpuji dan hebat yang seharusnya dijadikan ikon seni terbaik. Sudah tentu juga anak seni yang ada di Malaysia akan berasakan lebih dihargai dan disanjung kerana akhirnya ada satu contoh seorang anak seni yang mempunyai bakat luar biasa dan genius diiktiraf oleh negara dan bangsanya, setanding tokoh lain dalam bidang profesional lain.

Sehingga hari ini industri seni budaya dan hiburan di Malaysia masih gagal menemui pengkarya yang boleh menyamai kehebatan P Ramlee. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan separuh kejayaan P Ramlee pun belum ada jika mengikut kayu ukur pencapaian anak seni zaman sekarang meskipun ramai anak seni dan artis sekarang yang terpelajar, popular dan menjadi kaya raya.

Sewajarnya juga Pustaka Peringatan P Ramlee yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur, seharusnya dinaikkan taraf dan ditambahkan lagi koleksi serta bahan pamerannya supaya ia lebih daya tarikan untuk generasi baru serta pelancong untuk mengenal secara lebih dekat mengenai diri dan peribadi insan bernama P Ramlee. Pustaka yang wujud itu tidak seharusnya sekadar ‘janji ada’ sebaliknya harus mempunyai pelbagai kegiatan dan dibuat promosi. Nama P Ramlee akan terus hidup di hati peminat dan masyarakat selagi filem dan muziknya bertakhta di hati mereka.

Kata P Ramlee dalam filem Bujang Lapok: “Inilah sandiwara dunia...” - akmel@bharian.com.my

Sumber :
Berita Harian
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP