#210. Skoop : Formula terbaru A. Razak
TIGA pelakon ini pertama kali dipertemukan menerusi filem seram, Rasukan Ablasa yang sudah pun mula ditayangkan bermula 26 Februari lalu. Malah, filem berkenaan juga merupakan filem seram dan thriller terbaru arahan pengarah prolifik, Prof. Madya A. Razak Mohaideen selepas Potret Mistik (2005), Tujuh Perhentian (2004) dan Mistik (2003). Bukan itu sahaja, filem ini juga telah berdepan dengan beberapa masalah sehingga menyebabkan ia diperap selama hampir tiga tahun sebelum menemui penonton tempatan.
Antara pelakon yang membintangi filem Rasukan Ablasa yang membawa maksud bisikan iblis ini ialah Fouziah Gous, Gambit, Mohd. Hafiz Mohd. Nafiah, Almy Nadia, Fairul serta beberapa pelakon undangan seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) dan Aznah Hamid. Membicarakan tentang filem yang diarahkan oleh Razak sering kali mengundang polemik yang tidak berkesudahan. Seperti biasa,filem-filem arahannya sentiasa mendapat kritikan yang agak hebat daripada pengkritik filem mahupun peminat.
Namun, tanpa disedari ramai, kelebihan berlakon di bawah arahan pengarah filem yang juga pensyarah ini sebenarnya terletak kepada kelas lakonan secara insentif demi memberikan pendedahan kepada pelakon-pelakonnya sebelum turun ke lokasi.
Bukan sekadar omong kosong mahupun untuk memuji tetapi perkara ini sendiri diakui oleh tiga pelakon utama Rasukan Ablasa yang tidak lokek berkongsi cerita tentang pengalaman mereka berlakon di dalam filem ini.
Dalam satu pertemuan dengan mereka baru-baru ini, Fouziah Gous, Mohd. Hafiz M. Hanafiah dan Gambit melahirkan rasa bertuah mereka apabila menerima ilmu yang cukup berharga daripada pengarah dan juga krew filem Rasukan Ablasa.
Filem pertama Fouziah
Bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini tidak segan silu memberitahu, saat pertama kali berlakon di bawah arahan Razak, dia benar-benar kekok di lokasi sementelah Rasukan Ablasa merupakan filem pertama lakonannya.
Sudahlah baru dan masih mentah, ditawarkan pula menjadi pelakon utama dan jelas Fouziah, perkara itu sememangnya mengganggu fikirannya di awal penglibatannya dalam filem berkenaan.
“Masa itu saya betul-betul kosong dan tidak tahu selok-belok tentang dunia lakonan. Bukan itu sahaja, ketika itu, saya masih lagi aktif bekerja sebagai pramugari dan saya terkejut apabila tawaran itu datang kepada saya.
“Demi kerana itu juga, saya mengambil cuti ketika itu semata-mata mahu memberikan fokus kepada watak Elly. Saya tidak menyesal kerana apa yang saya peroleh sebelum dan sepanjang penggambaran filem ini cukup-cukup berharga,” cerita Fouziah membuka bicara.
Diwajibkan menghadiri kelas lakonan dan motivasi di bawah kelolaan Razak, Fouziah menjelaskan, perkara itu sebenarnya telah banyak meningkatkan keyakinan dirinya untuk beraksi sebaik mungkin dalam filem Rasukan Ablasa.
Katanya lagi, Razak banyak memberikan kelebihan dari segi berkongsi idea sesama pelakon dalam usaha memberikan mutu lakonan yang terbaik.
“Memang rasa tercabar apabila perlu duduk di dalam hutan seorang diri pada pukul tiga pagi hanya semata-mata untuk membiasakan diri dengan keadaan itu.
“Saya percaya selama dua minggu menjalani bimbingan ini banyak mengajar saya untuk menyelami erti sebuah lakonan,” ujarnya yang juga pengacara bersama untuk rancangan Roda Impian.
Bermula dengan filem Bujang Senang sebagai pelakon pembantu, gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Melayu ini sudah bersedia dikritik kerana dengan kritikan, dia tahu kelemahan dirinya dan seterusnya memperbaiki untuk menjadi lebih baik.
“Memang saya takut peminat dan masyarakat akan cuba membandingkan lakonan saya dalam filem ini dengan apa yang telah saya lakukan kini. Tetapi, apabila difikirkan balik, Rasukan Ablasa merupakan filem pertama saya dan pastinya, banyak kelemahan yang ada dalam diri saya ketika itu.
“Namun, saya bersikap rasional dan optimis dengan setiap kritikan kerana saya tahu ia adalah untuk kebaikan saya,” jelasnya penuh yakin.
Peluang Gambit kembang bakat
Jejaka berwajah Cina ini mula mencuri perhatian apabila wajahnya dapat ditatap menerusi filem Cinta arahan Kabir Bhatia pada tahun 2006.
Meskipun, wataknya kecil dan tidak meninggalkan impak yang besar, lakonannya dalam Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 itu menjadi buah mulut orang.
Manakan tidak, lakonannya dilabelkan sebagai kayu, keras dan tiada emosi seterusnya, dia dikatakan menceburkan diri dalam bidang ini hanya untuk mempertaruhkan wajah kacaknya itu.
Namun bagi Saifullah Rosli atau lebih dikenali dengan panggilan Gambit ini, dia melihat itu sebagai satu perkara yang cukup positif.
“Saya sedar saya masih baru dan masih banyak lagi peluang bagi saya memperbaiki segala kelemahan untuk meningkatkan kualiti lakonan saya.
“Disebabkan itu, apabila dapat peluang berlakon dalam filem Rasukan Ablasa ini, ia bagaikan satu peluang keemasan yang tidak seharusnya saya lepaskan. Filem ini juga menyaksikan buat pertama kalinya saya memegang teraju utama,” kata jejaka berusia 24 tahun ini.
Selepas Cinta, dia membintangi sebuah lagi filem hebat, Susuk sebagai teman lelaki kepada Diana Rafar yang ditayangkan pada tahun lalu.
Menyambung kembali bicara tentang Rasukan Ablasa, Gambit menjelaskan, dia sudah memberikan lakonan yang terbaik menerusi dua watak yang dipegangnya dalam filem tersebut.
Apatah lagi, dengan kecederaan lutut yang dialaminya ketika itu, ada kalanya ia bagaikan menyukarkan pergerakannya lebih-lebih lagi ketika membawakan watak lasak.
“Saya juga berasa cemburu melihat pelakon lain yang berpeluang mengikuti kelas bimbingan lebih awal daripada saya. Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mempelajari apa-apa.
“Meskipun mendapat skrip pada saat akhir, tetapi dengan bantuan pengarah, saya dapat melakukan seperti mana yang diinginkannya.
“Bekerja dengannya juga tidak sukar kerana dia begitu bebas menerima idea para pelakonnya. Dia juga bukan seperti pengarah lain yang hanya bertindak sebagai pengarah sahaja tanpa berkongsi idea dan pendapat dengan pelakonnya,” luahnya jujur.
Satu yang pasti tentang Gambit adalah dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadap dirinya apabila dia dilabelkan dengan pelbagai gelaran.
Sebaliknya, dia melihat itu sebagai satu cabaran untuknya mendaki anak tangga untuk menuju ke menara sebagai seorang pelakon.
“Saya tidak pernah meminta untuk memegang watak utama sepanjang masa. Cuma, saya mahu peluang terus diberikan kepada saya untuk mengembangkan bakat saya,” katanya yang memiliki syarikat sendiri, Eight Ball Productions Sdn. Bhd., yang sudah dua tahun beroperasi.
Hafiz tidak pernah menyesal
Pemuda ini sememangnya cukup sinonim dengan filem-filem Razak kerana jika ada yang perasan, wajahnya pasti akan kelihatan dalam setiap arahan Razak.
Antaranya adalah Bujang Senang, Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Kuliah Cinta dan Otai yang menyaksikan dirinya beraksi sebagai pelakon pembantu dan undangan sahaja.
Namun setelah hampir empat tahun menimba ilmu bersama Razak, barulah peluang menjadi pelakon utama datang kepadanya.
Ditanya mengapakah begitu lama peluang itu datang kepadanya, jawapan yang diberikan Hafiz sungguh optimis.
“Saya tahu Prof memerhatikan kerja-kerja saya dari jauh dan saya tahu dia mahu saya belajar dari bawah sebelum peluang berlakon dalam filem Rasukan Ablasa ini datang kepada saya.
“Perjalanan saya begitu jauh dan bersama dengan Prof telah banyak pengalaman yang saya kutip sehingga saya pernah menjadi pembantu pengarah bagi filem Otai. Saya tidak pernah menyesal kalau peluang itu lambat tiba kepada saya,” jelas Hafiz lagi.
Walaupun sudah biasa dengan Razak, Hafiz tidak menafikan cabaran beraksi dalam Rasukan Ablasa tetap wujud.
Apatah lagi, ia merupakan kali pertama memperlihatkan dirinya sebagai teraju utama, Hafiz memberitahu wataknya sebagai Jimi bukanlah semudah yang disangka.
“Transisi watak saya yang saya bawakan dalam filem ini membuatkan saya begitu gementar pada mulanya. Kerana dia adalah pencetus kepada segala permasalahan yang berlaku. Tetapi mujur dengan bimbingan dan tunjuk ajar oleh Prof, saya mampu melakukannya,” katanya.
Berjanji tidak akan pernah lupa akan jasa sifunya itu, Hafiz juga memberitahu, kerana gurunya itu jugalah namanya kini semakin hari semakin dikenali.
Lebih-lebih lagi katanya, impak yang terhasil menerusi watak Fazli yang dilakonkannya dalam siri drama dan filem Dunia Baru.
“Saya mengharapkan sokongan yang berpanjangan dan demi cinta saya pada bidang ini, saya akan melakukan yang terbaik untuk terus memahatkan nama saya,” ujarnya.
Sumber :
Utusan Malaysia
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
0 ulasan:
Catat Ulasan