#537. David Teo Upah Bomoh
MIG Production Sdn. Bhd., (MIG) merupakan antara syarikat produksi tempatan yang paling banyak menerbitkan filem seram sejak mereka beroperasi pada tahun 2001.Antara filem seram terbitan MIG berjudul Potret Mistik, Jangan Pandang Belakang, Congkak, 7 Perhentian dan yang terbaru, Santau yang telah pun memulakan penggambarannya pada 8 Jun.Sepanjang menjalani penggambaran filem-filem seram sebelum ini, MIG sering berdepan dengan pelbagai kejadian aneh sewaktu di lokasi terutama pada waktu malam.
Justeru, penerbit MIG, David Teo telah mengupah seorang bomoh bagi memantau serta membantu mengelakkan gangguan makhluk-makhluk halus sewaktu penggambaran Santau yang kini sedang giat diadakan di sekitar Lembah Klang.Menurut penerbit berasal dari Segamat, Johor ini, beliau tiada pilihan selain menggunakan khidmat bomoh bagi mengelakkan kejadian-kejadian tidak diingini sepanjang penggambaran filem itu diadakan.
"Saya kena upah seorang bomoh atau kita panggil consultant (perunding) dalam bidang ini bagi mengelakkan gangguan semasa penggambaran Santau diadakan.
"Ini berdasarkan pengalaman kami mengadakan penggambaran filem Jangan Pandang Belakang sebelum ini di mana ada beberapa kejadian pelik dan seram yang berlaku ke atas krew serta pelakon filem itu.
"Dengan adanya bomoh atau consultant itu, maka kita harap kalau ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku, maka kita ada orang yang arif dalam bidang itu untuk menyelesaikannya.
"Maklumlah, biasanya kita shooting filem seram pada waktu malam dan tempat-tempatnya dalam hutan atau rumah kosong. Jadi kita kenalah bersedia kalau ada 'benda-benda' lain yang datang nanti," katanya ketika ditemui Hits selepas majlis doa selamat penggambaran Santau di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Santau merupakan filem ke-34 MIG selepas lapan tahun terbabit dalam industri perfileman tanah air di mana ia akan diarahkan oleh pengarah baru, Azhari Muhammad Zain.
Jelas David, selain menggunakan khidmat bomoh, pada masa sama beliau turut mengingatkan para pelakon dan krew Santau supaya menjaga tingkah laku serta pantang larang sepanjang penggambaran filem itu dijalankan.
Katanya, sikap para pelakon dan krew terbabit mampu untuk mengelakkan perkara-perkara tidak diingini berlaku demi memastikan filem dengan kos produksi berjumlah RM1.5 juta itu dapat disiapkan mengikut jadual.
"Sebagai contohnya, kalau mereka sedang shooting dan berada di lokasi janganlah kencing sebarangan atau membuang 'tuala wanita' di merata-rata tempat. Semua ini berpunca daripada sikap kita juga.
"Saya cakap begini kerana sebelum ini sewaktu shooting filem Jangan Pandang Belakang ada krew kita yang diserang histeria dan melalui pengalaman yang menyeramkan.
"Kalau banyak berlaku kejadian-kejadian seperti ini, kesannya saya juga yang terpaksa menanggungnya. Misalnya, masa penggambaran akan tertangguh dan mengambil lebih masa. Kos penerbitan juga akan meningkat," ujarnya.
Sementara itu, pengarah Santau, Azhari Muhammad Zain pula berkata, biarpun Santau berdasarkan kisah seram yang pernah dilalui oleh salah seorang kakitangan MIG tetapi beliau yakin inisiati daripada David Teo itu segala-galanya akan berjalan lancar.
" Kita harap filem ini dapat dijayakan dengan sempurna tanpa adanya 'gangguan' yang tidak diingini di lokasi.
"Niat kami menghasilkan filem ini pun baik iaitu untuk mencetuskan kesedaran dan pengajaran kepada para penonton tentang peri buruknya perangai segelintir orang Melayu yang masih kuat dengan sifat hasad dengki mereka," komennya.
Santau yang akan menggunakan sistem bunyi Dolby Digital Surround EX menampilkan barisan pelakon seperti Esma Danial yang akan melakonkan watak Halim, Putri Mardiana (Nina), Zul Handy Black (Man), Farisya Fatin (Tuty) dan Bob Lokman (Bomoh).
Sumber : Utusan Malaysia [10/06/09]
Oleh ABD. AZIZ ITAR