#538. Produksi Naik Hantu Kejar Masa
Kelihatan pelakon tidak menghiraukan keadaan yang menunjukkan hujan akan turun.Mereka sebaliknya bersungguh-sungguh memberikan lakonan terbaik agar penggambaran dapat diselesaikan dengan cepat.Tidak perlu banyak latihan buat pelakon yang memegang watak utama iaitu Mas Muharni sebagai Mas, Scha Al-Yahya (Ziffa), Intan Ladyana (Fyza) dan Ezendy (Harun) kerana mereka tahu apa yang harus dilakukan.
Sesekali sebagai pengarah, Zack akan menegur agar pelakonnya memberikan riak wajah tepat untuk penghayatan yang seharusnya ditunjukkan.Menariknya dia menegur mereka sambil berlawak, menyebabkan orang di keliling ketawa, sekali gus mencecahkan ketegangan kakitangan produksi yang bertungkus-lumus melaksanakan kerja kerana mengejar masa.Rahmat Tuhan, sebaik Zack menyebut ‘cut’ memberi tanda penggambaran untuk babak 30 selesai, hujan mencurah lebat.
Ditemui sebelum menyambung babak 31 di ruang lobi hotel, Zack berkata sudah menjadi sikapnya cuba mencari jalan terbaik dalam menegur pelakonnya agar mood terhadap penghayatan watak tidak lari.
“Saya fikir cara terbaik adalah dengan berlawak, apatah lagi saya sendiri seorang yang kelakar.
“Secara tidak langsung apabila pelakon berasa tertekan, cara saya itu diharapkan dapat menukar situasi serius sewaktu bekerja menjadi lebih tenang,” katanya.
Sebelum bergelar pengarah, Zack terlebih dulu menimba pengalaman sebagai pengurus produksi kepada kebanyakan filem arahan Prof Razak Mohaideen seperti Nana Tanjung, Anak Mami dan Tangkai Jering.
Melihat latar belakang kerjayanya yang turut menjadi pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), maka apabila diberi tanggungjawab mengemudi penggambaran drama Naik Hantu bertemakan drama komedi, ia bukan masalah baginya
“Walaupun begitu untuk menghasilkan drama mahupun filem bertemakan komedi cabarannya besar.
“Orang selalu cakap hendak bagi orang menangis tengok filem senang, tetapi tidak untuk buat orang ketawa. “Saya berterima kasih kepada Razak yang banyak memberikan ilmunya kepada saya,” katanya.
Produksi drama bekerja mengejar masa kerana mereka hanya ada seminggu untuk menghabiskan penggambaran membabitkan paling kurang 60 babak.
Oleh itu penggambaran Naik Hantu terpaksa dilakukan 10 hingga 15 babak dalam masa sehari.
Menjelaskan mengenai sistem kerja yang begitu mendesak, jelas Zack, selain komitmen jitu diberikan pelakon keserasian wujud antara kakitangan produksi penting.
“Semua tenaga produksi terbabit dalam drama ini sudah cukup kenal antara satu sama lain. Kami sudah bekerjasama sejak setahun yang lalu sewaktu kami menghasilkan drama seperti Bila Mama Pakai Celana dan terbaru Bio-Nik.
“Kami serasi dan saya senang bekerja dengan mereka. Ada antaranya turut bersama saya sewaktu mengarahkan filem Jin Notti. Kerana itu kami mampu menjalani 10 hingga 15 babak dalam masa satu hari kerana masing-masing sudah tahu tanggungjawab, sekali gus dapat membantu menjimatkan masa,” katanya.
Naik Hantu mengisahkan tiga wanita yang mempunyai latar kerjaya berbeza. Bagaimanapun mereka mempunyai satu persamaan dari sudut sikap iaitu panas baran.
Sikap panas baran yang dimiliki Mas, Ziffa dan Fyza ini menarik minat seorang pakar dalam bidang permasalahan emosi iaitu Harun.
Dia cuba membantu ketiga-tiga gadis cantik ini untuk mengawal perasaan dan apabila kemarahan mereka di luar jangkaan Harun akan datang membantu.
TENAGA PRODUKSI
Judul: Naik hantu
Terbitan: MIG Beats Sdn Bhd
Penerbit: David Teo
Pengarah: Azhari Muhammad Zain
Jurukamera: Kamarul Azhar Mohd Yatim
Penulis Skrip: Norsheera Mohd Shamsudin
Penolong Pengarah: Mohd Faizal Abdul Malik
Pengurus Produksi: Yuzaidania Abdullah Shukor
Penolong Pengurus Produksi: Yusrizan Yunus
Pembantu Produksi: Azman Ibrahim
Pengarah Seni: Izhar Abdul Karim
Jurusolek dan Pakaian: Zarina Abu Sidek/Radzi Omar
Pelakon: Mas Muharni (Mas), Scha Al-Yahya (Ziffa), Intan Ladyana (Fyza) dan Ezendy (Harun).
Sumber : Harian Metro [11/06/09]
Oleh Rudy Imran Shamsudin